
KUALA LUMPUR | 26 Feb 26 – Kedudukan Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat tidak ditentukan oleh jawatan dalam parti, sebaliknya dipilih dalam kalangan Ahli Parlimen yang membentuk blok pembangkang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manek, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin.
Menurut beliau, keputusan Ahli-ahli Parlimen PN mengekalkan status Hamzah sebagai Ketua Pembangkang ketika ini, menjelaskan bahawa Ahli-ahli parlimen yang menentukan siapa ketua pembankang, bukan parti.
“Bila berada dalam Dewan, persoalannya blok mana seseorang itu berada. Blok itulah yang membuat keputusan memilih Perdana Menteri atau Ketua Pembangkang. Bukan suara di luar Dewan,” tegasnya.
Menurutnya, isu yang timbul berhubung kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin perlu difahami dalam konteks struktur Parlimen, bukan percaturan jawatan parti. Di dalam Dewan, katanya, yang menjadi asas ialah blok kerajaan dan blok pembangkang. Blok majoriti dalam pembangkang berhak menentukan siapa yang dinamakan sebagai Ketua Pembangkang.
Dalam masa sama, Zainol berpandangan bahawa faktor prestasi dan pengalaman menjadi antara faktor Hamzah terus kekal hingga kini untuk menerajui blok pembangkang.
Sepanjang lebih tiga tahun memegang peranan tersebut, beliau dilihat mempunyai pengalaman dan keupayaan yang sukar dipertikaikan, khususnya dalam mengurus strategi menjelang pilihan raya.
“Di kalangan Ahli Parlimen pembangkang sendiri, tidak timbul isu besar mengenai nama Datuk Seri Hamzah. Kalau ada pun perbezaan pandangan, hanya Tun Faisal saja, di kalangan Ahli Parlimen, sebut Dato’ Hamzah, dia orang tak ada masalah. Katanya.
Beliau turut mengingatkan situasi terdahulu seperti Anwar Ibrahim, apabila kepimpinan Ketua Pembangkang ditentukan melalui sokongan rentas parti dalam blok, meskipun tidak semestinya datang daripada parti yang mempunyai jumlah kerusi terbesar secara individu.
Justeru, katanya, prinsip yang sama terpakai dalam keadaan semasa.
Kenyataan itu dilihat sebagai usaha menjernihkan persepsi bahawa kedudukan Ketua Pembangkang tertakluk kepada dinamika Dewan Rakyat dan sokongan blok, bukan semata-mata hierarki dalaman parti.
Hari ini, Ketua whip PN Takiyuddin Hassan berkata Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kekal sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat buat masa ini.
Takiyuddin berkata dia telah bertemu dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul hari ini untuk membincangkan soal itu dan merujuk kepada kenyataan awal Johari mengenai status Hamzah.
“Setakat ini Hamzah masih ketua pembangkang. Dia (Johari) setuju dan saya pun (setuju). Setakat ini kedudukannya begitulah,” katanya ketika sidang media di Dewan Rakyat, hari ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.