Isu Ketua Pembangkang Perlu Selesai Dalam “Keluarga PN” — Penganalisis

KUALA LUMPUR | 1 Apr 26 — Kenyataan terbuka berhubung kedudukan Ketua Pembangkang dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan berpotensi memberi tekanan kepada gabungan itu, ketika isu berkenaan sepatutnya diselesaikan secara dalaman.

Timbalan Pengerusi Cendekiawan Negara, Prof Madya Ir. Dr Khairuddin Md Isa berkata, walaupun pandangan yang dibangkitkan mempunyai asas tertentu, ia tidak sesuai dibincangkan secara terbuka dalam konteks semasa PN.

Menurut beliau, perkembangan semasa menunjukkan terdapat kecenderungan dalam kalangan pimpinan PAS untuk lebih selesa dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin berbanding Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jika dilihat kronologi, kelihatannya pimpinan PAS lebih ‘selesai’ dengan Hamzah berbanding Muhyiddin,” katanya kepada politiko.

Beliau turut membayangkan bahawa faktor liabiliti politik tertentu, termasuk isu-isu yang dikaitkan dengan Muhyiddin, turut mempengaruhi penerimaan dalam kalangan kepimpinan dan Ahli Parlimen pembangkang.

Dalam masa sama, Khairuddin menegaskan bahawa sokongan Ahli Parlimen yang dilihat memihak kepada Hamzah menjadikan beliau antara figura yang lebih diterima untuk menerajui blok pembangkang ketika ini.

Namun, beliau memberi amaran bahawa kenyataan terbuka oleh mana-mana pihak, termasuk pemimpin pembangkang sendiri, boleh disifatkan sebagai isyarat tekanan terhadap PN dan berisiko menjejaskan kesepaduan dalaman.

“Masalah ini tetap rumit, namun biarlah ia diselesaikan dalam konteks keluarga PN dan tidak dihidu musuh,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar semua pihak mengalihkan tumpuan kepada agenda lebih besar, khususnya persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Menurutnya, keutamaan ketika ini ialah memperkukuh kerjasama dalaman serta menyusun strategi yang lebih ampuh di bawah kepimpinan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Isu kedudukan Ketua Pembangkang terus menjadi perhatian susulan perbezaan pandangan dalam PN, dengan beberapa pihak dilihat cenderung mengekalkan Hamzah atas faktor sokongan Ahli Parlimen dan kestabilan blok pembangkang.

Bagaimanapun, penganalisis berpandangan bahawa cara pengurusan isu tersebut akan menjadi penentu utama sama ada PN mampu mengekalkan kesepaduan atau berdepan risiko perpecahan menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share