Graduan Malaysia Sekadar Cukup Makan, Kata Laporan

Foto – jobmajestic

PETALING JAYA, 22 Mei – Ramai graduan universiti di Malaysia kini berdepan realiti getir apabila hanya memperoleh sekadar gaji sekadar ‘cukup makan’, tanpa lebihan untuk simpanan atau meningkatkan taraf kehidupan mereka, menurut satu laporan terbaharu oleh kumpulan penyelidik pasaran buruh, Future Studies Berhad.

Menerusi laporan bertajuk “Ekonomi Gaji Cukup Makan: Apabila Pendidikan Tinggi Menjadi Risiko Ekonomi”, laporan itu mendedahkan kepercayaan  pendidikan tinggi menjamin pulangan gaji yang bermakna semakin tidak relevan dalam landskap ekonomi semasa.

Laporan itu turut membidas angka kadar kebolehpasaran graduan yang sering melebihi 80% dengan menyatakan ia mengelirukan kerana merangkumi semua jenis pekerjaan tanpa mengambil kira kesesuaian kemahiran atau tahap gaji.

“Hakikatnya, lebih 70% graduan bekerja dalam sektor separuh mahir dan tidak mahir, manakala lebih 65% pemegang ijazah memperoleh gaji di bawah RM3,000 sebulan,” kata laporan tersebut.

Menurut Future Studies, dapatan itu  menunjukkan wujud ketidaksepadanan serius antara kelayakan akademik dengan peranan pekerjaan yang ditawarkan, sekali gus melemahkan pulangan pelaburan dalam pendidikan tinggi.

“Keadaan ini menyebabkan golongan berpendapatan rendah semakin terdedah kepada risiko ekonomi dan semakin hilang minat untuk melanjutkan pengajian tinggi kerana pulangan gaji yang rendah,” jelas laporan itu lagi.

Tambahnya, keputusan untuk menyambung pengajian tinggi kini menjadi risiko besar, terutamanya bagi isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang terbeban dengan kos pendidikan yang tinggi tanpa jaminan imbuhan setimpal.

Laporan tersebut turut mengenal pasti beberapa punca utama kelembapan pertumbuhan gaji, termasuk sistem latihan di awal permulaan pekerjaan yang tidak berkesan serta permintaan tenaga mahir yang lemah dalam sektor swasta – satu keadaan yang menurutnya digambarkan sebagai “krisis”.

“Graduan menghadapi trajektori gaji yang perlahan dan mendatar, menyebabkan mereka sukar meraih pendapatan lebih tinggi berbanding bukan graduan, terutamanya pada peringkat awal kerjaya,” jelas laporan itu.

Bagi menangani isu ini, Future Studies menggesa reformasi besar-besaran dalam dasar pendidikan dan pekerjaan, termasuk menyemak semula metrik kebolehpasaran graduan serta merombak sistem latihan industri untuk merapatkan jurang antara akademik dan pasaran kerja.

Cadangan lain termasuk menaik taraf sektor industri dan reka bentuk semula pekerjaan, memperkenalkan garis panduan gaji serta membangunkan satu ekosistem dasar menyeluruh yang menyelaras perancangan pendidikan, permintaan buruh dan hasil gaji secara strategik dan bersepadu. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share