
PARLIMEN | 21 Jan 26 — Isu dakwaan melibatkan penganugerahan kontrak pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan kembali dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi, mempersoalkan kelewatan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketika mencelah perbahasan, Zulkafperi merujuk kepada pendedahan yang dibuat sebelum ini oleh Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Che’GuBard, yang turut disertai laporan kepada SPRM serta sidang media berkaitan dakwaan campur tangan individu berkait pimpinan negara dalam urusan kontrak kerajaan.
Beliau menyebut dakwaan bahawa ketika Datuk Seri Muhyiddin Yassin menjawat jawatan Perdana Menteri, menantunya Datuk Seri Muhammad Adlan Burhan didakwa menghubungi pemilik syarikat Cekap Urus Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dianugerahkan tender pembekalan dan penyelenggaraan kenderaan kerajaan, dan meminta sejumlah RM100 juta.
“Difahamkan apabila pihak syarikat hanya menyerahkan RM10 juta, penganugerahan tender tersebut akhirnya dibatalkan dan kemudiannya diserahkan kepada Spanco Sdn Bhd,” kata Zulkafperi ketika mengemukakan soalannya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa SPRM dilihat lewat bertindak serta mengapa isu berkenaan seolah-olah tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Soalan tersebut dijawab oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, yang mengakui persoalan berhubung SPRM itu mempunyai asas.
“Ini Yang Berhormat nak suruh saya kena pecat dua kali ni. Soalan itu ada validitinya soal SPRM,” katanya secara berseloroh sebelum menegaskan kepentingan ketelusan siasatan.
Menurut Saifuddin, SPRM bertanggungjawab memastikan dirinya tidak terperangkap dalam persepsi awam yang negatif.
“Saya fikir SPRM bertanggungjawab untuk mengelakkan dirinya daripada persepsi tadi itu. Jadi sekiranya wujud sebarang kesalahan, tak kiralah di sebelah sana, di sebelah sini, individu atau sebagainya, siasatan hendaklah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya, dengan setelus-telusnya,” katanya.
Terdahulu, Badrul Hisham Shaharin dalam satu sidang media mendakwa, menantu Muhyiddin terlibat dan memanggil pemilik syarikat Cekap Urusa Sdn Bhd dan meminta derma politik sebanyak RM 100 juta.
Hingga kini, Muhyiddin atau menantunya belum membuat sebarang penafian atau mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan Chegubard itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.