
KUALA LUMPUR, 28 APR 25 – Pentadbiran berasaskan keadilan dan kesaksamaan menjadi tunjang Perikatan Nasional (PN) sekiranya berpeluang kembali menjadi kerajaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Katanya, melalui keadilan dan kesaksamaan, sistem meritokrasi akan menjadi lebih cekap.
“Ini masalah kita, kita bercakap tentang jumlah, apa saya nak buat adalah, kita patut cakap pasal keadilan, bila itu berlaku merit akan ikut serta,” katanya, dalam program bual bicara bersama mahasiswa kaum India, baru-baru ini.
Oleh yang demikian, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, sebagai pengundi adalah menjadi tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang benar-benar akan menunaikan janji bukan sekadar bermulut manis.
“Saya akan buat itu, selepas 68 tahun Merdeka kita tahu apa maknanya adil dan kesaksamaan untuk semua, kita akan laksanakan itu.
“Kamu kena fikir mulai sekarang siapakah orangnya yang bercakap dan tunaikan janji dia. Itu amat penting dalam kehidupan,” kata Hamzah, dalam rakaman program berdurasi 30 minit.
Jelasnya lagi, PN sebagai satu gabungan berhasrat untuk menjadikan kepelbagaian etnik dan agama sebagai aset untuk memajukan negara.
“Salah kita juga yang ambilan sorang yang janji macam-macam akhirnya tak tunaikan janji. Itu salah kita.
“Beritahu rakan-rakan, masa depan negara bergantung kepada pemimpin yang berikan keadilan kepada semua, cari seorang pemimpin yang benar-benar adil kepada semua…(bagi PN) kita gariskan ada sahaja perancangan untuk semua kaum dalam negara kita,” tambahnya.
Hamzah turut menegaskan, sepanjang beliau berada dalam barisan Kabinet kerajaan sebelum ini, tindakan dan keputusan kerajaan waktu itu demi masa depan anak muda dan negara pada masa akan datang.
“Apa kami buat bukan untuk kami, tapi generasi masa depan, saya nak duduk dengan semua tak kira Melayu, Cina, India. Jika semua adil untuk semua, negara akan boleh pergi jauh,” jelas Hamzah. @politiko.my