Oleh Dr Armin Baniaz Pahamin

Apabila anak muda yang berpendidikan tinggi, golongan siswazah, secara terbuka melabel Perdana Menteri sebagai “Madafaka”, reaksi kita tidak seharusnya segera melatah atau marah. Sebaliknya, kita perlu bertanya: mengapa sehingga begitu sekali kemarahan mereka terhadap pemimpin negara?
Apabila anak-anak muda siswazah membakar karikatur Perdana Menteri sebagai simbolik penolakan, reaksi Pemuda UMNO dan AMK yang melompat seperti cacing kepanasan hanya menzahirkan kegagalan memahami punca sebenar kemarahan generasi muda.
Sekali lagi, apabila laungan “Reformati” dilaungkan, kemarahan bukan jawapan. Soalan yang lebih penting ialah: mengapa ramai anak muda memilih untuk menentang dan menolak kepimpinan PMX serta kerajaan hari ini?
Dalam negara demokrasi, suara rakyat bukan jenayah. Polis tidak perlu bertindak terhadap mereka yang menyuarakan pandangan secara aman. Kerajaan juga tidak harus memadam kandungan digital atau menyekat suara menerusi VTT. Rakyat hanya meluahkan isi hati – itu hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan.
Lebih membimbangkan, apabila rakyat bersuara menolak rasuah dan menuntut ketelusan, mereka pula yang disiasat. Bukankah sepatutnya kerajaan mendengar dan memahami denyut nadi rakyat yang kecewa, bukan menghukum mereka?
Apabila desakan agar Perdana Menteri meletakkan jawatan semakin kuat, itu bukan sekadar lontaran emosi itu adalah isyarat. Isyarat bahawa kepercayaan telah hilang, bahawa mandat tidak lagi diyakini.
Maka jangan tutup mulut rakyat yang kecewa, dengarlah denyut nadi sebenar dari bawah. Pasti ada sebab yang mendalam dan berasas. Mesej ini perlu difahami, bukan disekat.
Kepimpinan yang benar-benar reformis ialah kepimpinan yang sedia mendengar, memahami, dan memberi respon dengan bijaksana. Bukan dengan kekerasan atau penafian. Fahamilah suara rakyat, sebelum rakyat memilih untuk tidak lagi memberi suara kepada pemimpin.
Rakyat bukan musuh negara. Rakyat cuma mahu negara yang lebih adil, bersih dan bermaruah.
Armin Baniaz Pahamin juga adalah Pengerusi Gerakan Ekonomi Malaysia
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.