Oeh : Rashidi Haris

Dulu, sekolah dianggap tempat paling selamat untuk anak-anak menimba ilmu, bermain dan membina masa depan. Paling tidak seteruk mana sekalipun, sekolah menjadi pusat murid-murid berjumpa kawan-kawan.
Tetapi hari ini, sekolah menjadi lokasi jenayah dan ketakutan. Apa yang sedang berlaku dengan masyarakat kita? Di mana silapnya sistem pendidikan kita?
Apa yang murid-murid hari ini belajar dari darjah satu sampai tingkatan lima sehingga buli, rogol dan terbaru bunuh boleh berlaku.
Rakyat tahu sudah politikus yang menjadi menteri akan menuding jari kepada politikus terdahulu kerana memperkenalkan sistem pendidikan atau gagal menyediakan sistem yang terbaik, itu standard perangai politikus nak jaga undi.
Kita terlalu lama menyanjung angka, ranking dan keputusan peperiksaan. Sistem kita mendidik anak menjadi bijak, tetapi bukan menjadi manusia. Kita menekankan kecemerlangan akademik hingga lupa membina akhlak dan kemanusiaan.
Pendidikan Islam dan moral hanya tinggal subjek untuk diluluskan, bukan dihayati. Anak-anak tahu apa itu dosa dan pahala, tapi tidak memahami erti tanggungjawab dan empati. Mereka hafal hukum, tetapi tidak merasai dosa.
Sementara itu, dunia maya mendidik anak tentang pengaruh, bukan nilai; tentang populariti, bukan akhlak.
Tambah pula, ramai ibu bapa menyerahkan tanggungjawab pendidikan sepenuhnya kepada sekolah. Guru pula terbeban dengan kerja pentadbiran, disiplin longgar, kaunselor kekurangan kuasa, akibatnya semua ini menjadikan sistem kita lumpuh dari dalam.
Kita juga sedang hidup dalam budaya “takut dan diam”. Guru takut imej sekolah tercalar, pihak sekolah takut dipersalahkan, pelajar pula takut diugut.
Akhirnya, semua memilih untuk senyap sampai tragedi berlaku. Kita tidak boleh terus menormalisasi kejahatan dan menutup mata kononnya “itu kes terpencil”. Bila semua takut bersuara, maka jenayah akan terus berulang.
Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan bertindak berani dan berjiwa reformis. Ini bukan masa untuk kenyataan mengecam atau janji siasatan. Kita perlukan rombakan menyeluruh; mungkin antaranya, disemak semula sistem disiplin dan keselamatan sekolah.
Keduanya, latih guru dan kaunselor mengesan awal pelajar bermasalah. Pulihkan kembali roh Pendidikan Islam & Moral sebagai pembentuk adab, bukan teori.
Kukuhkan kerjasama sekolah–keluarga–komuniti setempat. Dan dikawal pengaruh media digital terhadap pelajar kerana seperti kes terbaru mungkin ada pengaruh dari rancangan di TV.
Kita mesti jujur mengakui bahawa krisis ini bukan masalah individu, bukan masalah guru sahaja atau ibubapa sahaja tetapi masalah negara. Bila sekolah sudah tidak lagi selamat, maka masa depan bangsa juga terancam.
Mendidik bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk jiwa, akhlak dan harga diri manusia. Jika akhlak anak bangsa runtuh, maka segala kemajuan yang kita banggakan itu sebenarnya hanyalah ilusi.
Cukuplah kita terus berdiam diri. Sekarang ini adalah masa untuk semua, tanpa mengira siapa pun baik kerajaan, guru, ibu bapa dan masyarakat.
Semuanya harus bangkit bersama membina semula nilai bangsa. Kita tidak perlukan sekolah yang hanya melahirkan pelajar bijak, tetapi sekolah yang menumbuhkan manusia beradab.
Jika hari ini kita berani berubah, esok anak-anak kita masih punya harapan. Tapi jika kita terus menunggu, kita sedang menyaksikan kehancuran bangsa dengan tangan kita sendiri.
Haji Rashidi Haris, Ketua Sekretariat Gabungan Nasionalis
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.