Jenaka Anwar Kepada Putin Remehkan Penganut Islam, Kata Kadir Jasin

KUALA LUMPUR, 19 MEI 25 – Jenaka Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Rusia Vladimir Putin berkenaan ‘isteri kedua’ menggambarkan imej wakil seorang Islam, kata wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.

Namun, Kadir berpandangan, ia turut membuka ruang penganut bukan Islam membuat kesimpulan yang remeh terhadap orang Islam

“Kesimpulannya, kepada Putin, jawapan pemimpin nombor satu Malaysia itu adalah jawapan seorang Muslim sejati, seorang wakil sejati kebudayaan Islam.

“Natijahnya, dengan berjenaka mengenai isteri kedua, pemimpin numero uno kita itu telah memberi peluang kepada seorang bukan Islam membuat kesimpulan yang remeh mengenai Islam dan penganutnya,” kata Kadir, di media sosialnya.

Katanya, jenaka poligami juga tidak sesuai di negara bukan Islam seperti Rusia, di mana poligami diharamkan bagi penganut semua agama.

Lebih-lebih lagi, undang-undang keluarga Rusia dengan jelas menyatakan perkahwinan hanya boleh dilakukan antara seorang lelaki dan seorang perempuan, dan mereka tidak boleh berkahwin dengan orang lain serentak.

“Rusia juga tidak mengiktiraf poligami yang dilaksanakan di negara-negara luar. Kahwin sesama jenis pun diharamkan.

“Jadi logiknya, ketua negara atau ketua kerajaan kita tidaklah berjenaka mengenai agama atau poligami. Kalau tidak tahu siapa duduk di atas takhta ketiga itu, kata sajalah tidak tahu.

“Kalau berjenaka pun, ia mestilah sopan, bercitarasa (tasteful) dan bermaruah (dignified). Dan tentulah hal-hal yang menyentuh agama tidak dijadikan bahan jenaka. Misalnya poligami.” Kata Kadir lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share