Kembara Bersatu Teguhkan Perpaduan Pimpinan Selangor

KUALA LUMPUR, 17 MEI 25 – Program Kembara Bersatu peringkat negeri Selangor yang berlangsung baru-baru ini menerima sambutan menggalakkan apabila lebih 200 pemimpin kanan bahagian dan ketua-ketua sayap parti hadir menjayakan program berkenaan.

Dalam hantaran Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penganjuran program itu dilihat sebagai manifestasi kesatuan tenaga dan pemikiran dalam kalangan pimpinan Bersatu negeri untuk terus melangkah ke hadapan membawa agenda perubahan yang lebih mantap.

Dalam sesi tersebut, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin dalam sesi perkongsian, menegaskan komitmen parti terhadap lima prinsip utama iaitu inklusif, sederhana, demokratik, integriti dan prihatin yang menjadi tunjang kepada dasar dan idealisme perjuangan parti.

Manakala Azmin pula berkongsi analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, termasuk keutamaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Selangor.

Beliau dalam ucapannya turut menolak pendekatan “formula UMDAP” yang disifatkan tidak relevan dengan realiti politik semasa serta menyeru strategi lebih realistik digembleng bagi memperkukuh kekuatan parti.

“Saya menyanggah formula UMDAP bahawa 1+1=2,” kata Azmin yang dimuat naik menerusi laman facebook beliau.

Sementara itu, Bekas ahli Parlimen Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar yang turut hadir turut menggesa semua pemimpin Bersatu agar memanfaatkan pengalaman serta kemahiran masing-masing untuk membina kekuatan baharu dalam medan perjuangan.

Pandangan turut disuarakan Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menekankan peranan strategik wanita dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat.

Sementara Datuk Tun Faisal Abd Aziz turut menekankan pentingnya strategi komunikasi dan penerangan yang berkesan bagi mendekati rakyat dan menyampaikan mesej perjuangan parti.

Program Kembara ini dilihat sebagai pemangkin semangat kepada seluruh kepimpinan Bersatu Selangor untuk terus bergerak aktif dan menyemarakkan obor perjuangan parti menjelang cabaran politik akan datang.

“Pimpinan yang mengambil bahagian dalam kembara diberikan suntikan dan bekalan yang cukup bernilai untuk menyemarakkan obor perjuangan Bersatu di seluruh pelusuk Negeri Selangor.

“Ayuh, kita melangkah berani demi pertiwi,” kata Azmin. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share