
KUALA LUMPUR, 21 Jun 25 – Pejuang menggesa pihak berkuasa polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat motif laporan polis dibuat terhadap Yusoff Rawther oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan baru-baru ini.
Pengerusinya, Jawatankuasa Orang Muda (JOM) Pejuang Mohd Akmal M Yusoff khuatir wujud cubaan untuk menyalahgunakan institusi penguatkuasaan semata-mata perbezaan politik pihak tertentu.
“Adakah ia cubaan untuk menyalahguna institusi keadilan demi mencapai matlamat politik sempit?
“Jika benar ada unsur salah guna kuasa atau laporan palsu, individu yang terlibat mesti didedahkan dan dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” kata Akmal dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, tindakan sekumpulan individu membangkitkan semula isu lama kononnya Yusoff menyokong Israel adalah taktik jijik oleh pengecut.
“Serangan ini bukan sahaja berniat jahat, malah menunjukkan betapa terdesaknya geng penyokong buta Anwar yang kini sudah hilang arah dan panik apabila Yusoff dilepaskan dan dibebaskan oleh mahkamah.
“Mereka tidak mampu menjawab isu sebenar, lalu memilih taktik pengecut, alih perhatian rakyat dengan memainkan semula isu basi dan tidak relevan,” tegas Akmal.
Jelasnya, rakyat jangan terpedaya dengan dakyah kotor geng reformis palsu berkenaan.
“Mereka bukan pejuang keadilan — mereka hanyalah barisan penjilat kuasa yang akan sanggup menggadaikan prinsip demi kelangsungan politik individu tertentu.
“Sudah tiba masa rakyat celik dan menolak politik pemujaan individu yang membawa lebih banyak kebinasaan daripada pembaharuan,” katanya, lagi. @politiko.my