
KUALA LUMPUR, 1 MEI 25 – Platform yang dianggotai wakil rakyat dari pelbagai parti politik dengan latar belakang berbeza penting bagi mengurangkan perbezaan yang terlalu tajam antara satu pihak dengan pihak lain.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu juga berupaya menyelesaikan masalah dengan lebih baik.
“Platform-platform begini signifikan untuk perundingan dalam merangka dasar-dasar dan program-program serta menyelesaikan masalah-masalah dengan fakta dan bijaksana.
“Ia juga signifikan untuk membawa politik kearah pertengahan (centrist, moderat) dan mengurangkan perbezaan-perbezaan yang terlalu tajam,” katanya, dalam satu kenyataan.
Saifuddin yang juga ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata demikian, sebagai respons terhadap pelancaran Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) yang dianggotai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari lima negeri pada Rabu lalu.
Ia turut disertai tiga organisasi masyarakat sivil (CSO) dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Instititut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bertindak sebagai seketariat.
KDPP katanya bertujuan memastikan perkara-perkara dasar, contohnya, pengagihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), pendanaan politik serta peranan semak dan imbang di negeri-negeri dapat dilaksanakan secara telus dan adil tanpa mengira parti.
“Pada saya, penubuhan KDPP adalah kesinambungan kepada beberapa inisiatif reformasi institusi yang telah bermula di Parlimen sejak 2018.
“Mulai tahun itu, lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) telah ditubuhkan, iaitu tidak lagi terhad kepada dua-tiga JKPK sahaja dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),” katanya.
Tambahnya, di samping PAC, terdapat sepuluh lagi JKPK yang meliputi semua portfolio kementerian-kementerian.
“JKPK dianggotai Ahli-ahli Parlimen (AP) rentas parti. Ia mempunyai kedudukan rasmi dan adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan Parlimen.” @politiko.my