Kenyataan terkini oleh Muhyiddin Yassin bahawa pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional tidak menjamin beliau sebagai calon Perdana Menteri memperlihatkan satu sikap yang sangat sombong, kebudak budakan dan tidak matang.
Kenyataan sebegini tidak membantu memperkukuh gabungan, malah menimbulkan persepsi wujudnya ego dan permasalahan dalaman yang tidak berkesudahan.
Hakikatnya, pembangkang hari ini memerlukan satu naratif bersama dan satu kepimpinan yang mampu menyatukan semua parti komponen dalam satu kerangka besar terutamanya komponen yang mempunyai ramai Ahli Parlimen.
Ketika sebahagian besar Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyatakan sokongan terbuka dan tidak berbelah bahagi kepada Hamzah Zainuddin, mesej akar umbi jelas: mereka mahukan kestabilan, hala tuju baharu dan kepimpinan yang diyakini mampu mengemudi cabaran semasa.
Lebih signifikan, sokongan itu bukan bersifat retorik. Ramai dalam kalangan pimpinan bahagian menyatakan kesediaan untuk terus bersama Hamzah walau ke mana arah politik beliau selepas pemecatan daripada parti.
Ini menunjukkan kepercayaan terhadap kepimpinan beliau lebih bersifat peribadi dan berasaskan kredibiliti, bukan sekadar jawatan dalam struktur parti.
Dalam konteks ini, tindakan cuba menghalang kemasukan mana-mana parti baharu yang berpotensi memperkukuh PN hanya akan melemahkan blok pembangkang sendiri. Politik dendam dan percaturan sempit tidak lagi relevan. Rakyat sedang memerhati, mereka mahukan pembangkang yang bersatu, bukan yang terus bergelut dengan ego dalaman.
Lebih membimbangkan, ketika wujud laporan bahawa banyak bahagian Bersatu berada dalam keadaan lemah atau tidak lagi aktif, tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha memperkukuh organisasi, bukan mencetuskan polemik mengenai siapa lebih layak menjadi calon Perdana Menteri.
Realitinya, tanpa struktur parti yang kukuh di peringkat akar umbi, sebarang perancangan besar akan tinggal retorik semata-mata.
Tambahan pula, dalam keadaan beberapa isu perundangan masih berjalan, keutamaan seharusnya diberikan kepada membersihkan nama dan menstabilkan parti. Kebijaksanaan seorang negarawan terletak pada keupayaan membaca suasana “read the room”.
Sekiranya pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN memberi lonjakan moral dan keyakinan kepada penyokong, maka sewajarnya ruang diberikan untuk beliau mengemudi strategi gabungan.
Pembangkang tidak boleh lagi berpecah kepada kelompok-kelompok kecil yang saling mencurigai. Jika benar matlamatnya untuk menjuarai isu rakyat dan menawarkan alternatif kerajaan yang lebih baik, maka kesatuan adalah prasyarat utama.
Akhirnya, kebesaran seorang pemimpin bukan diukur pada sejauh mana beliau mempertahankan jawatan, tetapi sejauh mana beliau sanggup berlapang dada demi kelangsungan perjuangan yang lebih besar daripada dirinya. Dalam politik, ada masanya memimpin di hadapan, dan ada masanya memberi ruang kepada generasi seterusnya untuk membawa obor perjuangan.
Seharusnya Muhyiddin Yassin perlu sedar diri dan menilai semula kedudukannya dalam landskap politik semasa. Politik bukan sekadar soal pengalaman lampau atau jawatan yang pernah disandang, tetapi soal keyakinan semasa dan kepercayaan akar umbi.
Apabila sokongan Ahli-Ahli Parlimen dan Ketua-Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia di seluruh negara semakin jelas memihak kepada Hamzah Zainuddin, itu bukan lagi persepsi, itu realiti politik yang tidak boleh dinafikan.
Gelombang sokongan ini membentuk satu blok yang tersusun dan berdisiplin. Blok Hamzah dilihat semakin kukuh kerana dihuni pemimpin-pemimpin yang diyakini rakyat, pemimpin yang tegas, berpengalaman, dan mempunyai jaringan sokongan akar umbi yang nyata.
Dalam politik, persepsi keyakinan rakyat adalah mata wang paling bernilai. Apabila keyakinan itu beralih arah, sesiapa pun tidak mampu menghalangnya dengan kenyataan retorik semata-mata.
Jika keadaan ini berterusan dan tiada usaha muhasabah dilakukan, tidak mustahil blok yang mendukung Hamzah akan muncul sebagai pilihan utama rakyat Malaysia untuk menerajui sebuah kerajaan yang berdaulat dan stabil.
Rakyat mahukan kepimpinan yang fokus kepada hala tuju negara, bukan kepimpinan yang terperangkap dalam pertikaian dalaman dan ego peribadi.
Sekiranya perpecahan terus dibiarkan dan suara akar umbi tidak diendahkan, nama Bersatu mungkin hanya tinggal sejarah tanpa kekuatan sebenar. Parti yang pernah menjadi wadah harapan boleh sahaja menjadi simbol kegagalan membaca perubahan zaman.
Dalam politik, mereka yang enggan berubah akhirnya akan ditinggalkan, bukan kerana dikhianati, tetapi kerana gagal menyesuaikan diri dengan realiti.
Hariz Faisal Bin Ismail, Mantan Exco Armada Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.