Pembaikan Pilihan Raya Ke Arah Demokrasi Matang

Oleh : Saifuddin Abdullah

Bersempena Ulangtahun Ke-70 Pilihan Raya Pertama 1955 pada 27 Julai lalu, Tindak Malaysia telah menganjurkan seminar ‘70 Tahun Pilihan Raya Membentuk Demokrasi Malaysia’ di Petaling Jaya, pada 26-27 Julai. Saya berterima kasih diundang salah seorang ahli panelnya.

Kita perlu mematangkan demokrasi supaya rakyat dapat menikmati kebaikan-kebaikan demokrasi. Saya membicarakannya (termasuk menulis dua buah buku) dari sudut Politik Baru, iaitu penghayatan politik yang bersih dan segar, sejak 2006.

Ia melibatkan tiga komponen. Pertama, Politik Baru, iaitu politik adalah perjuangan dan kerangka governans baru. Kedua, Pelbagai Kaum, iaitu merayakan kepelbagaian dan hidup bersama dalam budaya damai. Dan ketiga, Moderat, iaitu kesederhanaan, centrist dan menolak ekstremisme.

Kerana itu, di samping memerlukan reformasi institusi-institusi, kita juga memerlukan ‘pembetulan-pembetulan struktural’. Di sinilah relevannya pembaikan pengurusan pilihan raya untuk memastikan ia bebas, telus, berintegriti, cekap dan adil.

Pembaikan pilihan raya melibatkan Perlembagaan Persekutuan, Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri-negeri, beberapa undang-undang pilihan raya yang khusus dan sejumlah undang-undang lain yang berkaitan.

Banyak isu dan kelemahan telah ditimbulkan. Antaranya, soal kurangnya perwakilan golongan minoriti, kerajaan dibentuk bukan mengikut undi majoriti, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bebas, berlaku malapportionment (pembahagian tidak sekata) dan gerrymandering (manipulasi persempadanan), alamat pengundi tidak lengkap/seragam dan ada orang telah meninggal masih wujud dalam daftar.

Beberapa cadangan pembaikan telah dilaksanakan, contohnya Undi18 dan pendaftaran automatik pemilih. Manakala pendanaan politik sedang dibincang serius.

Tetapi, terdapat sejumlah perkara yang masih tergantung. Antaranya, sistem selain daripada First Past the Post yang diamalkan sekarang, sistem berasingan untuk Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, memastikan sejumlah kerusi minimum untuk wanita dan golongan minoriti, meletakkan SPR di bawah Parlimen, mewujudkan badan berasingan untuk membuat persempadanan pilihan raya (Suruhanjaya Persempadanan Pilihan Raya), penggunaan weightage (pemberatan) dalam menentukan kerusi bandar dan luar bandar, cara/tempoh pembubaran Parlimen/DUN yang lebih tetap dan kod/peraturan kerajaan sementara.

Sebab itu, pada 24 Julai, di Dewan Rakyat, saya bertanya akan status Laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya yang ditubuh kerajaan pada 2018.

Pembaikan pilihan raya dan pematangan demokrasi mustahak untuk semua rakyat. Ini termasuk golongan minoriti, OKU, pemilih Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung, pemilih Semenanjung yang menetap di Sabah dan Sarawak, dan pemilih di luar negara.

Ia bukan sahaja dari segi hak dan akses untuk mengundi, tetapi juga peratus perwakilan dalam Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri.

Juga, menangani persoalan kerajaan majoriti (peratus kerusi dimenangi seimbang dengan peratus undi popular dimenangi), kedua-dua kerajaan dan pembangkang berciri pelbagai kaum, tidak berlaku tirani majoriti lwn anarki minoriti, serta wujud kerajaan responsif dan pembangkang konstruktif.

Antara yang menghalang pembaikan-pembaikan ialah kepimpinan yang berorientasi-personaliti  dan kurang berorientasi-polisi, kurang komitmen/iltizam politik dan political survivalism.

Kita perlu bekerja lebih kuat dan sepakat – iaitu Konsensus Nasional Baru – dalam mengatur langkah-langkah pembaikan pilihan raya kearah demokrasi matang.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri.

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Apa Rasional Kedah Tuntut RM200 Juta?

Ini bermakna Kedah secara rasional, memilih untuk tidak mengejar pembangunan demi terus menjadi sebagai ‘jantung beras’ negara. Pilihan rasional ini juga boleh dilihat sebagai suatu ‘pengorbanan besar’ kepada negara.
Read More
Total
0
Share