
KUALA LUMPUR, 11 Okt 25 – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap kemerosotan akhlak dalam kalangan pelajar sekolah berikutan laporan kes rogol membabitkan beberapa pelajar lelaki terhadap rakan sekolah mereka baru-baru ini.
Beliau berkata, kejadian itu bukan hanya mencemarkan nama baik institusi pendidikan, malah mencerminkan masalah moral yang semakin membimbangkan di peringkat sekolah menengah.
“Pendidikan bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan, tetapi juga membentuk insan berakhlak dan berjiwa ihsan. Kita perlu menilai kembali sejauh mana pendidikan agama dan moral benar-benar berperanan membina sahsiah pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr Yadzil menjelaskan, insiden berkenaan wajar menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa isu salah laku pelajar kini semakin kompleks, melibatkan bukan sahaja buli dan pergaduhan, tetapi juga penyalahgunaan dadah dan jenayah seksual.
Sehubungan itu, beliau mendesak Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka untuk menjelaskan langkah-langkah konkrit yang telah dan akan diambil bagi menangani peningkatan kes salah laku moral di sekolah-sekolah negeri ini.
Menurutnya, kerjasama bersepadu antara Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan unit kaunseling sekolah amat penting bagi memastikan pendidikan rohani dan bimbingan psikologi dapat diterapkan dengan lebih berkesan.
“Kerajaan tidak boleh terus melihat setiap kejadian sebagai kes terpencil. Kita memerlukan pelan pencegahan yang menyeluruh dan berterusan bagi memulihkan semula budaya disiplin serta nilai moral di sekolah,” ujarnya.
Sebagai Ketua Pembangkang, Dr Yadzil turut mencadangkan agar kerajaan negeri mengadakan mesyuarat khas bersama semua pihak berkepentingan termasuk PIBG, NGO dan badan keagamaan, bagi merangka strategi jangka panjang menangani kemerosotan akhlak pelajar.
“Masa depan generasi muda tidak boleh dibiarkan terabai hanya kerana kelemahan sistem dalam mendidik hati dan jiwa,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.