KB Port Dickson : Kelemahan Strategi Penerangan Terserlah

KUALA LUMPUR, 13 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che’GuBard, mengkritik kelemahan strategi komunikasi Perikatan Nasional (PN) selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Tahuan (PAT) Bersatu.

Menurut Che’GuBard, langkah Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-11 telah mengalih tumpuan parti daripada isu-isu rakyat yang lebih mendesak. Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai “kegagalan menjuarai isu rakyat” dan menunjukkan kelemahan strategi penerangan.

“Sepatutnya pemikir-pemikir dalam war room Bersatu tidak terperangkap dengan permainan regim. Mudah saja, jangan jawab isu calon PM. Kita ada ramai pemimpin berkaliber, tetapi fokus mesti pada isu rakyat,” katanya.

Che’GuBard turut menegur gaya komunikasi PN yang menurutnya terlalu reaktif dan bersifat melawan semua pihak, bukannya menjuarai naratif yang dekat dengan rakyat.

Kritikan itu secara tidak langsung membuka semula persoalan mengenai kelemahan di bahagian penerangan parti, yang kini dipimpin Tun Faisal.

Selain itu, Che Gubard turut menegur kenyataan yang menyarankan parti komponen PN lain, termasuk PAS, boleh menamakan calon perdana menteri masing-masing.

“Ini jawapan sangat ego, kebudakan dan nak tengok PN berpecah. Ujarnya.

Che’GuBard menambah, kelemahan komunikasi menyebabkan PN gagal memanfaatkan kelemahan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, termasuk isu kos sara hidup dan kekosongan jawatan dalam kabinet.

“Tumpu perbetul “strategic communication” dan lahirkan ramai wajah pimpinan fokus isu berdasarkan kemahiran masing masing.

“Jurucakap parti pula seharusnya jangan cepat melenting, respon isu macam nak bergaduh dengan semua orang.

“Pembangkang mesti sedar mereka berdepan dengan Anwar yang licik. Tumpuan perlu pada komunikasi strategik yang kemas, bukan polemik dalaman yang melemahkan gabungan,” katanya.

Semalam, Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Mohd Kamal Saidin, menegur dan menyifatkan Tun Faisal gagal menampilkan konsistensi dalam kenyataan, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli parti sendiri.

Menurut beliau, Ketua Penerangan sepatutnya berperanan memantapkan mesej parti, bukannya mencetuskan polemik baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share