Kerana Apa Melayu Mesti Terus Pimpin Negara?

Saya tertarik dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media selepas beliau melancarkan sebuah buku di World Trade Centre Kuala Lumpur baru-baru ini.

Salah satu kenyataan utama Tun ialah: Perikatan Nasional (PN) tidak berupaya menjadi payung penyatuan Melayu. Malah, beliau menegaskan, tiada mana-mana parti politik pun yang mampu menyatukan orang Melayu secara keseluruhan.

Kenyataan ini mungkin terdengar pesimis, tetapi sebenarnya cukup realistik. Realiti politik Melayu hari ini sangat berpecah.

Kita dapat lihat, bukan semua orang Melayu menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ataupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS), dua parti utama dalam gabungan PN. Malah, sebahagian besar orang Melayu menjadi ahli kepada parti lain seperti PUTRA, PEJUANG, BERJASA, UMNO dan sebagainya.

Lebih menarik, ada juga kelompok besar orang Melayu yang langsung tidak berminat menyertai mana-mana parti politik.

Mereka ini memilih untuk bergerak melalui badan-badan bukan kerajaan (NGO), persatuan kebajikan, pendidikan, belia, dan pelbagai lagi saluran masyarakat sivil. Ini menandakan bahawa orang Melayu bukanlah satu kelompok yang homogen dalam politik — kita berbeza dari segi ideologi, pendekatan, malah personaliti pemimpin juga sering menjadi sebab perpecahan.

Maka, benarlah seperti yang disebut oleh Tun: penyatuan total orang Melayu adalah satu cabaran yang amat sukar, hampir mustahil jika hanya melalui satu wadah politik sahaja.

Namun, ini tidak bermakna orang Melayu tidak boleh bersatu. Tun sendiri, meskipun tidak lagi aktif dalam mana-mana parti politik, masih gigih mempromosi agenda penyatuan Melayu — bukan untuk kuasa politik peribadi, tetapi untuk memastikan masa depan orang Melayu tidak tergadai dalam arus politik yang semakin tidak menentu.

Beliau sedar bahawa dalam usia mencecah 100 tahun, beliau tidak lagi berhasrat bertanding dalam pilihan raya atau memimpin parti. Tetapi, beliau tetap mengambil tanggungjawab moral sebagai negarawan untuk memastikan orang Melayu tidak kehilangan arah.

Kita semua harus ingat bahawa pada Mac 2023, satu inisiatif penting telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir, iaitu Proklamasi Orang Melayu (POM).

Dalam dokumen ini, terdapat 12 perkara penting yang dirangka sebagai satu bentuk pengisytiharan moral dan politik untuk menyatukan orang Melayu di luar garis parti. POM bukan sebuah parti politik, bukan juga satu pertubuhan berdaftar, apatah lagi organisasi yang mengejar keuntungan.

Ia hanyalah satu iltizam, satu dokumen simbolik yang mengajak orang Melayu supaya kembali bersatu atas semangat mempertahankan kuasa politik dan memperkasa pembangunan bangsa.

Yang menarik, POM telah mula menghimpunkan pelbagai tokoh dan pemimpin Melayu dari latar yang berbeza — baik dari parti politik, NGO, kumpulan profesional, malah juga influencer media sosial dan aktivis bebas.

Mesyuarat bulanan yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir berjalan tanpa struktur birokrasi – tiada jawatan seperti pengerusi tetap, timbalan, bendahari atau setiausaha. Perjumpaan ini hanyalah tempat untuk bertukar pandangan, menyelaraskan mesej, dan membina kefahaman bersama antara mereka yang ikhlas mahu melihat orang Melayu kembali bersatu, bermaruah dan dihormati.

Tun sendiri pernah menyatakan, sejak merdeka, pentadbiran negara didominasi oleh orang Melayu, tetapi ia tidak pernah bersifat zalim atau menindas kaum lain.

Malah, sejarah menunjukkan bahawa kerajaan yang diterajui oleh orang Melayu adalah adil dan terbuka. Buktinya jelas — golongan yang paling kaya di Malaysia bukanlah terdiri daripada orang Melayu.

Ini membuktikan bahawa kerajaan pimpinan Melayu tidak menghalang kemajuan kaum lain, malah memberi ruang yang luas untuk pembangunan ekonomi dan sosial semua kaum. Justeru, sebarang dakwaan kononnya orang Melayu menindas kaum lain melalui kuasa politik adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Namun begitu, Tun turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi semasa di mana kuasa politik orang Melayu semakin terhakis akibat perpecahan dalaman.

Jika dibiarkan, ia akan membuka ruang kepada kuasa politik luar Melayu untuk mengambil alih pentadbiran negara secara berperingkat. Ini bukan soal perkauman, tetapi soal mempertahankan hak dan maruah bangsa yang telah membina negara ini dari awal.

Tun tidak menolak hak kaum lain, malah beliau sering mengingatkan bahawa kestabilan negara bergantung kepada keadilan dan tolak ansur antara semua kaum.

Tetapi pada masa sama, beliau menekankan bahawa orang Melayu sebagai kaum majoriti dan penduduk asal perlu kekal berperanan sebagai pentadbir utama, agar struktur negara kekal stabil dan tidak terdedah kepada ketegangan kaum yang merugikan semua pihak.

Akhir kata, mesej Tun sangat jelas — beliau mahu melihat orang Melayu terus mentadbir negara ini, bukan kerana mahu memonopoli kuasa, tetapi kerana itulah bentuk struktur politik yang telah terbukti berkesan sejak Merdeka. Untuk itu, penyatuan Melayu adalah satu keperluan yang mendesak, bukan lagi satu pilihan.

Kestabilan negara memerlukan Melayu yang kuat, bersatu dan rasional. Ini bukan tentang menafikan hak kaum lain, tetapi tentang memastikan teras pemerintahan kekal kukuh seperti yang telah digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Andai Melayu terus berpecah, sistem ini akan longgar dan akhirnya menggugat keharmonian semua rakyat. Maka sudah tiba masanya kita kembali kepada asas — bersatu bukan atas nama parti, tetapi atas nama bangsa dan tanggungjawab kepada negara. Ini kenapa Melayu harus terus memimpin politik Malaysia.

Azman Mohd Hashim – Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

PN Stabil Dan PN Pahang Sedia Hadapi PRU16

Di Pahang, PN stabil seperti biasa. Menurut Pengerusi PN Pahang yang juga Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Pengerusinya iaitu Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Pahang Datuk Khalib Abdullah, PN Pahang sentiasa bersetia-kawan, padu dan tidak terjejas dengan peletakan-peletakan jawatan tersebut.
Read More

Tiada Pilihan

Perpecahan dalam Bersatu bermakna PN kehilangan hampir satu perempat daripada kekuatan politik yang dimilikinya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Read More
Total
0
Share