Ketua Bahagian Dakwa Muhyiddin Mungkiri Janji Pelan Peralihan Kuasa, Punca Kemelut BERSATU

KEPALA BATAS | 9 Feb 26 – Ketua Bahagian Bersatu Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, mengakui beliau menandatangani Surat Akuan Bersumpah (SD) demi memastikan kelangsungan parti, tetapi secara terbuka mendakwa Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mungkir jannji pelan peralihan kuasa yang pernah dipersetujui.

Khaliq menjelaskan pengakuannya dibuat dalam satu pertemuan empat mata dengan Muhyiddin, ketika isu SD mula menjadi perbualan hangat. Menurut beliau, tindakan itu adalah tanggungjawab moral sebagai ahli parti yang mengutamakan kepentingan BERSATU, walaupun pendirian berani itu berpotensi menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan kepimpinan tertinggi.

“SD yang saya tandatangani bukan menuntut presiden berundur serta-merta, tetapi memberi ruang untuk pelan peralihan kuasa dilaksanakan secara teratur. Bagaimanapun, beliau menyatakan ‘plans can change’, menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen kepimpinan terhadap kesinambungan parti,” kata Khaliq.

Beliau turut menegaskan bahawa Muhyiddin sebelum ini beberapa kali menyuarakan hasrat untuk berundur dan melaksanakan succession plan yang telah dibincangkan.

Kegagalan untuk menunaikan janji ini, tambah Khaliq, menimbulkan risiko besar kepada persiapan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), terutama apabila Presiden menghadapi beban kes mahkamah yang boleh menjejaskan kredibiliti parti.

Khaliq mengingatkan bahawa individu yang dicadangkan sebagai pengganti Muhyiddin adalah Ketua Pembangkang Perikatan Nasional, beliau menekankan bahawa pelan peralihan ini adalah strategik dan kritikal untuk kesinambungan kepimpinan.

“Sekiranya kemelut dalaman ini tidak diselesaikan, ia menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan BERSATU memimpin negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam kenyataan tegas, Khaliq menyeru Muhyiddin supaya berundur demi kepentingan parti dan masa depan Perikatan Nasional, menekankan bahawa kepimpinan yang stabil dan tersusun adalah prasyarat utama menghadapi PRU16 dengan kekuatan penuh.

Desakan terhadap Muhyiddin meletakkan jawatan semakin meluas, pemerhati berpendapat Muhyiddin tidak lagi mempunyai legitimasi untuk meneruskan peranannya sebagai Presiden BERSATU. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share