
KUALA LUMPUR, 14 NOV 25 – Penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tuntutan 40% hasil Sabah didakwa bercanggah dan tidak menjawab isu utama yang dibangkitkan.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, Anwar menyatakan Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas 11 Nov memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas mendengar nasihat Peguam Negara.
Namun Anwar dalam masa sama katanya, memberitahu Parlimen kerajaan tidak bersetuju dengan beberapa kenyataan dalam alasan penghakiman hakim berhubung isu berkenaan.
“Di sinilah timbul kecelaruan. Kerajaan kata terima keputusan mahkamah, tetapi pada masa yang sama mempertikai alasan penghakiman yang menjadi asas keputusan itu,” kata Hassan, dalam satu kenyataan.
Tambahnya, jika kerajaan memilih untuk tidak merayu, ia bermakna kerajaan bersetuju sepenuhnya dengan keputusan mahkamah, termasuk alasan penghakiman.
“Tidak boleh kata setuju keputusan, tapi tidak setuju alasan. Kedua-duanya datang daripada hakim yang sama, ibarat isi dengan kuku,” tegasnya.
Beliau menegaskan, jika terdapat perkara dalam alasan penghakiman yang tidak dipersetujui, kerajaan wajib membawa rayuan ke Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkait isu Perlembagaan. Mahkamah Persekutuan sahaja yang boleh memutuskan perkara sebegini,” katanya.
Hassan mengingatkan keputusan kerajaan untuk tidak merayu mewajibkan kerajaan mematuhi sepenuhnya semua perintah dalam keputusan mahkamah bertarikh 17 Okt lalu.
“Tidak boleh pilih-pilih. Jika kerajaan enggan melaksanakan keputusan tersebut, itu menghina mahkamah,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa ini bukan masa untuk kerajaan berunding dengan Sabah atau Jawatankuasa MA63.
“Mahkamah sudah putuskan. Ini masa untuk laksana, bukan untuk runding,” katanya.
Menurutnya, Parlimen juga tidak boleh membantu kerajaan kerana prinsip pemisahan kuasa dan keluhuran undang-undang.
“Jika ada pihak mengatakan kerajaan cuai kerana tidak merayu, jangan salahkan orang lain,” katanya.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.