
KUALA LUMPUR, 23 Jun 25 – Bakar, koyak, dan pijak lakaran gambar pemimpin adalah amalan biasa dalam himpunan demo protes anak muda, kata aktivis Badrul Hisham Shaharin.
Beliau yang dikenali sebagai Chegu Bard menjelaskan, tindakan itu adalah amalan demonstran di seluruh dunia.
“Pijak, bakar, koyak gambar pemimpin memang aksi anak muda seluruh dunia.
“Pemimpin yang bijak akan terus lakukan ‘engagement’ mendengar dan menjawab kritikan namun bagi diktator kuku besi sudah tentu akan mengecam dan ambil tindakan undang undang,” katanya, dalam hantaran di Facebook.
Penyelaras pembela tanah air (Peta) itu berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibenci dan berisiko tumbang sekiranya tindakan diambil terhadap kumpulan mahasiswa berkenaan.
“Yakinlah kekecewaan terhadap Anwar kini sudah mengakar kerana dia kononnya malaikat reformasi. Malangnya reformasi semua kencing kini kekecewaan mula bertukar kebencian.
“Regim mula menyerlahkan wajah kuku besi, rakyat dihimpit kos kehidupan nyanyian dan laungan Anwar sudah bertukar membingitkan.
“Pera cabar regim ambil tindakan kepada aksi bakar karikatur Anwar itu. Nescaya tindakan regim itu akan mempercepatkan kejatuhan regim bergelar #kimjongnon ini,” katanya.
Sehubungan itu, dia turut menyindir Ketua AMK PKR Muhammad Kamil Abdul Munim yang menyelar insiden tersebut.
“Mengecam tindakan itu memperlihatkan betapa AMK kini sudah putus dengan suara gaya anak muda. AMK sudah penuh dengan anak muda beg kepit seluar sendat bawa fail lobi projek.
“Untuk pengetahuan Kamil, tahukah kamu ketika zaman Pemuda PKR kami demo siap sebat patung gambar perdana menteri dan menteri besar,” tambahnya. @politiko.my