
KUALA LUMPUR | 5 Mei 26 – Perkembangan terbaharu melibatkan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di Negeri Sembilan yang dilaporkan mengambil pendirian berkecuali mula mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai hala tuju politik BERSATU di peringkat negeri dan pusat.
Laporan media sebelum ini memaklumkan perubahan pendirian tersebut berlaku dalam suasana politik negeri yang masih rapuh, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ia bersifat individu atau mencerminkan dinamika dalaman yang lebih besar.
Di media sosial, beberapa pemimpin politik turut memberikan reaksi yang dilihat mengaitkan perkembangan itu dengan kemungkinan perubahan pendekatan PN secara lebih luas.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, dalam satu hantaran mempersoalkan sama ada pendirian tersebut mencerminkan keputusan di peringkat negeri. Beliau turut membangkitkan kemungkinan implikasi lebih besar dengan menyentuh soal keserasian sokongan terhadap gabungan yang melibatkan DAP.
“Adakah ini juga keputusan PN Negeri Sembilan?
“Jadi kalau di negeri sembilan boleh sokong PH yang ada DAP dalamnya,maka boleh lah sokong di peringkat pusat kan? Katanya.
Sementara itu, aktivis politik Che’gu Bard pula mengulas dengan nada sinikal terhadap tindakan ADUN terbabit, termasuk mempersoalkan alasan yang diberikan berhubung prinsip pertukaran sokongan politik di luar pilihan raya.
“Pagi tadi bila budak budak Anwar Ibrahim bagi tahu dua ADUN Bersatu NS akan buat uturn saya rasakan tidak mungkin…
“Tiba tiba bila petang nampaknya benar benar ADUN Bersatu NS umum uturn maka tahniahlah ADUN Bersatu NS… Ujarnya sinis.
Walaupun kenyataan-kenyataan tersebut bersifat pandangan peribadi, ia mencerminkan persepsi yang sedang berkembang dalam kalangan pemerhati politik bahawa tindakan ADUN berkenaan berpotensi memberi kesan kepada naratif kesatuan dalam PN.
Namun setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada kepimpinan tertinggi PN yang mengesahkan sama ada perubahan pendirian itu merupakan sebahagian daripada strategi politik yang lebih besar atau sekadar keputusan individu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.