Kunci Meter Air Penyewa PPR, PA Elak Tunggakan RM70 Juta Terus Meningkat

KUALA LUMPUR, 19 MEI 25 – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil langkah drastik mengunci meter air di unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sebagai usaha mengurangkan tunggakan sewa yang kini mencecah RM70 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, tunggakan itu menjejaskan penyelenggaraan serta pengurusan kemudahan awam yang sepatutnya dinikmati penduduk di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu.

“Langkah mengunci meter air dilaksanakan bersama beberapa pendekatan lain termasuk pengeluaran notis, program advokasi kewangan serta pelan rundingan pembayaran bagi membantu penyewa menyelesaikan tunggakan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’, semalam.

Menurut beliau, hasil kutipan sewa amat penting bagi memastikan DBKL dapat terus menyalurkan semula perkhidmatan berkualiti kepada komuniti.

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah berkata DBKL turut mempertimbangkan untuk membuka semula peluang penjualan unit PPR dan PA kepada penyewa yang benar-benar berkemampuan dari segi kewangan.

“Memang pada 2015 ada keputusan untuk membekukan penjualan, tetapi saya sedang meneliti semula perkara itu. Jika penyewa layak dan mampu, kita bersedia menjual unit berkenaan,” katanya.

Terdahulu, sesi dialog awam program tersebut turut menyentuh isu-isu komuniti seperti pembuangan sampah, kesesakan trafik dan penyalahgunaan dadah. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share