KWSP dan Hutang Negara – Antara “Angka Kerajaan” Dan “Pengalaman Rakyat”

Dalam kesibukan kita memerhatikan kempen Pilihan Raya Negeri Sabah, perkembangan ekonomi domestik tidak harus diabaikan.

Sehari dua ini kita diperlihatkan dengan dua isyarat penting. Yang pertama, kerajaan mengesahkan hutang luaran Malaysia berada dalam keadaan terkawal, dan kedua, laporan Utusan menyebut jangkaan dividen KWSP sekitar 6.5%.

Dua berita ini kelihatan positif, tetapi hakikatnya laporan ini mempunyai implikasi yang lebih mendalam terhadap keyakinan ekonomi rakyat dan hala tuju fiskal negara.

Kenyataan hutang luaran “terkawal” adalah mesej standard yang sering digunakan kerajaan untuk menenangkan pasaran. Mana-mana kerajaan pun akan memberikan indikasi yang sama agar pasaran tidak panik.

Namun perkataan terkawal yang diulang-ulang ini tidak menjawab dua persoalan asas iaitu, apakah trend hutang sebenar, dan apakah kemampuan Malaysia untuk membayar balik tanpa menyedut perbelanjaan sosial?

Hutang yang “terkawal” boleh sahaja menggambarkan nisbah yang tidak kritikal, tetapi jika pertumbuhan ekonomi bergerak perlahan seperti sekarang, beban hutang akan tetap memberi tekanan kepada bajet kerajaan khususnya kos kebajikan rakyat. 

Di sisi lain, jangkaan dividen KWSP sekitar 6.5% memberi gambaran positif. Dalam suasana kos sara hidup yang tinggi, rakyat melihat KWSP bukan semata-mata simpanan hari tua, tetapi “penyelamat” psikologi yang memberi sedikit ruang untuk bernafas.

Tetapi, dividen yang tinggi tak semestinya bermakna keadaan ekonomi sudah pulih. Perlu kita sedar bahawa ramai pencarum sudah mengeluarkan sebahagian besar simpanan mereka semasa pandemik dan pasca-pandemik yang lalu.

Maka dividen 6.5% kelihatan besar pada angka kerajaan, tetapi dalam jumlah ringgit sebenar, pulangannya rendah bagi mereka yang baki simpanan yang sudah sedia tenat.

Ini menimbulkan persoalan struktur antaranya, adakah dasar gaji dan keselamatan sosial negara mencukupi untuk melindungi rakyat daripada risiko jangka panjang dan risiko luar jangka?

Jika hutang negara dilihat terkawal tetapi rakyat masih terbeban dengan kos sara hidup, mesej ekonomi yang bercanggah ini akan memberi kesan besar terhadap persepsi awam terutama kepada kemampuan kerajaan Madani mengurus ekonomi.

Di media sosial, naratif sebegini mudah berkembang menjadi perbandingan antara “angka kerajaan” dan “pengalaman rakyat”, yang akhirnya menentukan tahap kepercayaan kepada kepimpinan Anwar. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share