
KUALA LUMPUR, 6 Ogos 25 – Ketua Wira Perkasa Zool Amali Hussin menggesa lucut kerakyatan mana-mana warganegara yang gagal memahami Perlembagaan dan tidak menghormati simbol dan lambang kedaulatan negara.
Beliau yang lebih dikenali Bozz Jebat berkata, tolak ansur terhadap insiden pengibaran Jalur Gemilang terbalik sudah sampai hadnya.
“Cukup-cukuplah memberi alasan. Ini bukan sekadar isu bendera terbalik — ini adalah soal jati diri dan kesetiaan kepada negara!
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi bertolak ansur terhadap sikap acuh tak acuh dan kejahilan terhadap simbol negara.
“Sekiranya ada rakyat yang gagal memahami asas Perlembagaan, sejarah, dan lambang negara, maka wajarlah dipertimbangkan penarikan hak kewarganegaraan mereka,” tegasnya, dalam satu kenyataan.
Bozz Jebat berkata, kerakyatan bukan hadiah percuma sebaliknya ia datang dengan tanggungjawab dan penghormatan kepada negara.
Isu itu tegasnya bukan isu remeh atau sekadar kesilapan teknikal yang boleh disapu ke bawah karpet sebaliknya melibatkan kedaulatan dan maruah negara.
“Mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik bukan sahaja memalukan, malah mencerminkan kejahilan terhadap simbol negara yang sepatutnya menjadi kebanggaan setiap warganegara,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.