
KUALA LUMPUR, 9 Okt 25 – Sehari selepas membuat kenyataan terbuka mengkritik pemimpin parti, Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Che GuBard, hari ini meledak dengan kenyataan yang lebih terbuka dengan menempelak Ketua Penerangan parti, yang disifatkannya gagal menjalankan tanggungjawab dan sibuk menjadi “penjilat keliling Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.”
Che GuBard yang sebelum ini memilih berdiam diri hampir sebulan, berkata beliau kini terpaksa bersuara selepas mendakwa wujud gerakan dalam parti untuk membungkam suara teguran.
“TSMY, inilah masalah, penjilat keliling kamu. Dah dekat sebulan aku #diam sebab Ketua Penerangan parti kerja tak buat, asyik menjilat. Bila ada orang menegur, dia kata yang keluar masuk lokap orang tak ada otak,” katanya dalam satu kenyataan keras di media sosial.
Menurut Che GuBard, budaya “yes boss” yang semakin berakar dalam Bersatu telah membunuh roh perjuangan dan menjadikan parti itu “kubur bergerak”.
“Parti yang semua kata ‘yes boss’ bukan parti, ia kubur bergerak. Teguran bukan pengkhianatan, tapi penggera agar parti tak mati dalam kepalsuan.”
Beliau turut menyindir mereka yang menjadikan disiplin parti sebagai alasan untuk menakut-nakutkan suara berani.
“Kalau disiplin dijadikan senjata menutup mulut, itu bukan parti, itu teater pengkhianatan senyap.”
Che GuBard mendakwa sebuah artikel bertajuk “Berjuang Bukan Berkokok” yang kononnya ditulis atas nama Presiden sebenarnya hasil kerja “penjilat upahan” yang cuba menutup suara kritikal dalam parti.
“Mereka salah guna nama Presiden untuk serang orang yang bercakap benar. Ketua Penerangan dan jentera komunikasi patut urus naratif rakyat, bukan sibuk mengampu.”
Kenyataannya dilihat sebagai sindiran terbuka terhadap kelemahan jentera komunikasi parti, yang menurut beliau lebih banyak bermain politik dalaman daripada memperkukuh mesej kepada rakyat.
Menutup kenyataannya, Che’GuBard mengumumkan beliau tidak lagi akan berdiam diri.
“Saya berhenti diam. Saya akan mula #terusterang. Bisukan suara berani, dan parti sedang menggali kuburnya sendiri.”
Kenyataan beliau disertai tanda pagar #kemelutdalamrumahperjuangan, #sabarmakinmenipis, dan #Bersatu, memberi isyarat jelas bahawa krisis dalaman parti mungkin sedang memasuki fasa lebih sulit. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.