
KUALA LUMPUR, 28 Jun 25 – Wakil Rakyat Perikatan Nasional (PN), Yb Dato Sri Ikmal Hisham mempersoalkan samada syarikat Aerotree Defense and Services Sdn Bhd telah diberikan kontrak oleh Kementerian Kewangan atau Kementerian Pertahanan.
Menurutnya, persoalan ini perlu dijelaskan memandangkan rekod syarikat terbabit yang sebelum ini telah gagal melaksanakan kontrak membekalkan Helikopter Black Hawk UH-60 yang amat diperlukan bagi tujuan tempur oleh Tentera Darat Malaysia.
“Satu perkembangan yang tidak sihat berkaitan perolehan aset ketenteraan/kerja-kerja kontrak pertahanan sekiranya benar Syarikat Aerotree Sdn. Bhd. diberikan kontrak baharu oleh Kementerian Kewangan atau Kementerian Pertahanan.
“Pihak Kerajaan perlu menjelaskan berapa nilai kontrak berkenaan sebagai memegang teguh kepada prinsip ketelusan.
“Apatah lagi ini merupakan syarikat sama yang gagal membekalkan Helikopter Black Hawk UH-60 yang amat diperlukan bagi tujuan tempur oleh Tentera Darat Malaysia.
Menurut Ikmal yang juga Ketua Portfolio Pertahanan, sebelum syarikat ini diberi tanggungjawab lain, Kementerian Pertahanan (MINDEF) perlu menjelaskan berapa jumlah LAD (Liquidated Ascertained Damages) atau denda yang Syarikat ini telah bayar kepada MINDEF berkaitan perbekalan helikopter Black Hawk yang gagal.
“Disebabkan kegagalan Syarikat ini sebelum ini ada pihak lain yang bersifat opportunist berjaya meyakinkan Kerajaan untuk mendapatkan helikopter jenis AW149 yang tidak memenuhi spesifikasi asal keperluan Tentera Darat.
“Rakyat perlu tahu apakah track record Syarikat Aerotree Sdn. Bhd. dalam perolehan aset ketenteraan/ kerja-kerja pembangunan fasiliti pertahanan sebelum ini sehingga kurang daripada 8 bulan mereka gagal membekalkan helikopter Black Hawk, kini mereka mendapat anugerah kontrak penentu-ukuran kemudahan fasiliti pertahanan? Tambahnya.
Baru-baru ini, media melaporkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memberikan kontrak baharu kepada syarikat yang gagal menghantar empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk hampir lapan bulan lalu.
Ia kelihatan mengelirukan apabila, tujuh bulan lalu, Menteri Pertahanan, Khaled Nordin dilaporkan berkata, perjanjian kerajaan dengan Aerotree dibatalkan selepas syarikat itu gagal membuat penghantaran pada tarikh akhir Oktober lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.