
KUALA LUMPUR, 5 Okt 25 – PAS mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan tegas memecat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta-merta kerana gagal menjaga sensitiviti umat Islam.
Ia berikutan majlis rasmi kementerian itu didapati menghidangkan minuman keras.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata, bukan kali pertama menteri gagal menjaga sensitiviti umat Islam dan tindakan itu perlu bagi memulihkan keyakinan rakyat dan menjaga kehormatan Islam sebagai agama rasmi negara.
Hidangan arak dalam majlis rasmi kerajaan bukan sahaja melanggar Pekeliling Perbendaharaan mengenai ‘Peraturan Mengenai Keraian Rasmi’ yang jelas melarang penyediaan arak, malah bercanggah dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Bagaimana majlis kerajaan boleh menghidangkan minuman yang jelas haram dalam Islam?” ujarnya.
Sebelum ini, Tiong menegaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua hari setengah yang berjaya menjana impak ekonomi bernilai RM420 juta.
Jelasnya, acara makan malam yang menjadi isu kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebenarnya merupakan inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
Sementara itu, Fadhli berkata, PAS turut memandang serius pendedahan itu.
“Mufti Wilayah Persekutuan juga telah menjelaskan dalam Irsyad Hukum Siri ke-224 bahawa haram bagi orang Islam duduk dalam majlis yang dihidangkan arak padanya,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Putra Shahrulufti Sharif menggesa Tiong agar menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada umat Islam.
“Kepimpinan bukan sekadar mengurus acara, tetapi menjaga maruah bangsa, agama dan Perlembagaan negara.
Kenyataan menteri yang menafikan dakwaan tetamu muslim meninggalkan majlis kerana penghidangan alkohol katanya adalah tidak bertanggungjawab dan menunjukkan kegagalan memahami sensitiviti agama dalam negara Islam berperlembagaan, katanya.
“Kehadiran alkohol dalam acara berprofil tinggi menyinggung umat Islam dan mencemar adab penganjuran.
“Tindakan tetamu Muslim beredar secara sopan adalah hak berlandaskan prinsip agama.
“Menteri tidak boleh melepaskan tanggungjawab dengan alasan ‘penganjur swasta’ sedangkan Tourism Malaysia terlibat secara langsung dalam acara nasional,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.