
KUALA LUMPUR, 16 Jun 25 – Hutang kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah terbesar dalam sejarah, dakwa wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin.
Katanya, realiti menunjukkan hutang kerajaan Anwar semakin meningkat walaupun dia berulang kali berikrar kurangkan hutang dan salahkan kerajaan-kerajaan dahulu kerana banyak berhutang.
Menurutnya, ketika Anwar mengambil alih pemerintahan negara pada Nov 2022, hutang dan tanggungan kerajaan pusat dilaporkan RM1.399 trilion.
“Itu Ketua Audit Negara yang kata. Ia bersamaan dengan 78.1% nilai Keluaran Negara Kasar (KDNK), sekarang, setelah dua tahun setengah (kira-kira 30 bulan) memerintah, perangkaan terbaru menunjukkan hutang kerajaan pusat, termasuk tanggungan, berjumlah kira-kira RM1.5 trilion, iaitu tertinggi dalam sejarah tetapi lebih rendah dibandingkan dengan KDNK iaitu 65.6%.
“Maksudnya di segi jumlah, kerajaan Malaysia Madani berhutang lebih banyak, iaitu kira-kira RM101 bilion dalam masa 30 bulan, tetapi lebih rendah berbanding KDNK,” katanya, dalam hantaran di Facebook.
Kadir berkata, disebabkan itu kerajaan perlu menambah hasil mereka demi untuk membayar faedah hutang dan pokok dengan beberapa kaedah seperti mengenakan cukai kepada rakyat.
Perkara itu juga diakui Menteri Kewangan ll, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menurutnya tidak segan-silu mengaku rombakan struktur Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) adalah bagi memperkukuhkan hasil kerajaan.
“Kadar cukai naik, tetapi beliau kata ia tidak akan menambah beban majoriti rakyat jelata. Selalunya itulah mantera keramat mereka, yang mereka tidak bagi tahu ialah orang kaya dan peniaga yang kena cukai akan pindahkan beban itu kepada pengguna.
“Amir Hamzah adalah menteri teknokrat. Beliau bukan ahli politik. Jadi beliau buat keputusan teknokratik dan bukan politik,” katanya.
Kadir menjelaskan, apabila hutang kerajaan tinggi, kerajaan perlu menambah hasil mereka.
“Kesimpulannya, jarang sekali harga barang dan perkhidmatan tidak naik apabila cukai ke atasnya naik. Misalnya, harga barang makanan mesti naik apabila cukai ‘makanan bernilai tinggi’, termasuk buah-buahan import, dinaikkan.
“Jangan lupa, tarif elektrik dan harga petrol RON95 juga mungkin naik mulai 1 Julai ini di bawah program RP4 TNB dan rasionalisasi subsidi bahan bakar. Baru-baru ini harga LPG komersial dilaporkan telah meningkat,” kata Kadir lagi. @politiko.my