
KUALA LUMPUR, 18 Sep 25 – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, menyifatkan kenyataan jurucakap Bersatu yang mengaitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dengan “Firaun” dan “Qarun” sebagai tindakan tidak wajar yang hanya menambah ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Badrul Hisham, kenyataan itu jelas menyinggung rakan komponen gabungan dan menunjukkan kelemahan taktikal yang sepatutnya dielakkan.
“Malangnya jurucakap Bersatu tanpa berfikir dan (diyakini) tanpa rujuk biro politik atau struktur parti terus membalas dengan cuba mengaitkan Sanusi dengan Firaun dan Qarun. Firaun dan Qarun bersama orang kafir, kufur nikmat Allah. Adakah sampai ke tahap ini mahu pecahkan PN?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau menegaskan, polemik mengenai calon Perdana Menteri PN yang timbul selepas mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kini semakin merumitkan keadaan dan boleh menjejaskan imej parti serta gabungan.
“Berhentilah isu ini. Ia dimulakan oleh segelintir orang keliling dan merosakkan Presiden Bersatu,” katanya lagi.
Badrul Hisham menekankan bahawa PN sepatutnya memberi tumpuan kepada perjuangan membela rakyat yang sedang berdepan pelbagai masalah, bukannya terperangkap dengan isu perebutan calon Perdana Menteri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.