Akhirnya Rakyat Tanggung Beban – Adilkah?
Memetik pandangan tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin. Beliau menyifatkan perebutan sengit dalam projek kerajaan bernilai berbilion ringgit, melibatkan “mafia korporat” dan akhirnya memberi kesan kepada rakyat.
Dua buah syarikat yang terlibat; NexG Berhad dan HeiTech Padu Berhad yang dikaitkan dengan kontrak kerajaan bernilai jutaan ringgit. Beliau menambah, “Akhirnya yang kena tanggung perbelanjaan adalah rakyat jelata yang minta MyKad dan pasport.”
“Mafia korporat, Victor Chin Boon Long, Mr “R”, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Perdana Menteri Malaysia dan segala lembaga hitam di belakang tabir boleh berperang mati-matian dalam percaturan konsesi awam bernilai berbilion-bilion ringgit,” katanya lagi.
Skandal ini telah menimbulkan kegusaran rakyat berhubung integriti kerajaan yang dikatakan mementingkan dasar tatakelola yang baik. Namun, pendedahan ini telah menimbulkan kesangsian awam terhadap kerajaan Madani.
Ujian Kepimpinan – Mendedahkan atau Melindungi?
Nama Anwar Ibrahim sering dikaitkan dengan perjuangan menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Janji-janji reformasi yang dilaungkan bukan sekadar slogan, tetapi harapan yang disandarkan oleh ramai.
Namun dalam politik, seperti kata peribahasa, “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.” Satu dakwaan sahaja sudah cukup untuk membuka ruang keraguan terhadap keseluruhan naratif.
Di sinilah ujian sebenar kepimpinan.
Bukan pada saat semuanya berjalan lancar, tetapi ketika badai melanda. Adakah prinsip akan tetap dipertahankan, atau akan dikompromi demi kestabilan? Adakah kebenaran akan diutamakan, walaupun pahit, atau akan ditangguhkan demi menjaga imej? Bahasa orang tua-tua memang berbisa, “Jangan hanya kuat melalak cakap berdegar-degar, tapi najis tersangkut di gelegar.”
Dalam banyak hal, sejarah mengajar bahawa kuasa mempunyai kecenderungan untuk melindungi dirinya sendiri. Namun sejarah juga menunjukkan bahawa apabila tekanan rakyat mencapai titik tertentu, perubahan menjadi tidak dapat dielakkan. “Seperti air yang menitis ke batu – perlahan, tetapi pasti meninggalkan kesan.”
Apa yang berlaku hari ini mungkin masih di peringkat dakwaan. Identiti Ahli Parlimen yang disebut masih dirahsiakan, dan kebenaran sebenar masih belum terungkap. Namun siapakah dan syarikat manakah yang terlibat, kesannya sudah mula terasa.
Ia membuka semula perbahasan lama tentang integriti, tentang hubungan antara politik dan wang, dan tentang sejauh mana sistem kita benar-benar kebal daripada pengaruh luar. Inilah bahananya, “I scratch your back and you scratch my back.” Rakyat menanggung nasib buruk akibat kepimpinan bobrok.
Dalam masa yang sama, kemunculan nama seperti “Mr R” – yang disebut dalam wacana politik semasa menambahkan lagi unsur misteri dalam skandal ini. Dalam politik, nama yang tidak disebut sering kali lebih kuat kesannya daripada nama yang didedahkan. Ia mencipta ruang spekulasi, dan spekulasi pula adalah bahan bakar kepada ketidakstabilan persepsi.
Rakyat Bukan Sekadar Pemerhati – Tapi Penilai
Namun, di sebalik semua ini, satu perkara kekal: rakyat bukan sekadar pemerhati. Mereka adalah penentu arah. Soalnya, apakah kita memilih untuk melihat dengan mata yang terbuka, atau terus lena dibuai naratif? Apakah kita menilai pemimpin berdasarkan integriti, atau sekadar retorik yang memikat telinga?
‘Seperti kayu yang dimakan bubuk, keruntuhan tidak berlaku dalam sehari. Ia bermula dengan retakan kecil, yang jika dibiarkan, akan membesar menjadi rekahan yang tidak mampu ditampal. Dan apabila saat itu tiba, penyesalan tidak lagi membawa makna.
Sejarah telah lama mengajar melalui kisah seperti ‘Animal Farm’ bahawa revolusi boleh dikhianati, kuasa boleh merosakkan, dan sistem boleh dimanipulasi. Namun sejarah juga mengajar bahawa kesedaran rakyat adalah kuasa yang paling sukar dikawal. Kesedaran pasti adalah menyedarkan diri agar berhati-hati sewaktu memasukkan kertas ke dalam peti undi – pangkah hanya pemimpin yang berintegriti.
Apabila rakyat mula sedar, tirai mula tersingkap. Dan apabila tirai sudah tersingkap, tidak ada lagi ruang untuk bayang-bayang bersembunyi. Kerana akhirnya, dalam mana-mana “ladang”, tidak kira betapa kuatnya Napoleon berusaha mempertahankan kuasa – sejarah tetap berpihak kepada mereka yang berani memperjuangkan kebenaran.
Tamat.
Oleh; Ramlee Wahab, Sri Gading, Batu Pahat, Johor
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.