
Malaysia kini berada di persimpangan penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan (SDG) menjelang 2030.
Dalam landskap global yang semakin menuntut kebertanggungjawaban sosial, kelestarian alam, dan tadbir urus yang baik, kerajaan Malaysia mengemukakan satu pendekatan baharu gabungan antara Sustainable Development Goals (SDG) dan Social and Solidarity Economy (SSE) sebagai asas kepada konsensus nasional yang lebih inklusif dan bersepadu.
Lima perkara yang digariskan oleh Dato Seri Saifuddin Abdullah baru-baru ini dalam konteks SSE iaitu, membina kapasiti, kerjasama pelbagai sektor, SSE sebagai pusat/kompas dan sasaran, amat penting.
Pendekatan SDG – SSE menekankan pemerkasaan ekonomi komuniti melalui koperasi, perusahaan sosial, perniagaan milik bersama dan inisiatif ekonomi berasaskan nilai solidariti. Ia memberi ruang kepada pelbagai segmen masyarakat, terutamanya di peringkat akar umbi, untuk menjadi sebahagian daripada pelaksanaan SDG secara aktif.
Gabungan ini memperluas pelaksanaan SDG daripada tahap dasar dan pelaburan nasional (seperti yang diperincikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12), kepada penyertaan langsung rakyat dalam ekosistem ekonomi yang lebih saksama dan lestari.
Menurut laporan Majlis SDG Negara, Malaysia telah mencapai 43% daripada sasaran SDG — jauh melebihi purata global sebanyak 17%.
Walaupun angka ini memberangsangkan, ia juga menunjukkan perlunya langkah lanjutan yang menjangkaui dasar-dasar makro. Di sinilah SDG‑SSE memainkan peranan sebagai pemangkin perubahan pada tahap komuniti dan perniagaan sosial.
SDG – SSE berperanan sebagai kesinambungan kepada dasar ESG (Environmental, Social, Governance) Kebangsaan yang diluluskan pada Disember 2024.
Usaha ini menyatukan pelbagai inisiatif seperti pengesanan jejak karbon, pengurusan sisa industri, dan keadilan sosial, di bawah satu rangka kerja yang saling melengkapi.
GLC, syarikat tersenarai, dan agensi kerajaan kini diseru untuk menyokong perusahaan kecil dan koperasi dalam pelaporan dan pematuhan ESG.
Walaupun SDG‑SSE berpotensi besar, ia tidak lari daripada cabaran praktikal:
Pematuhan ESG memerlukan kos tinggi bagi PKS dan koperasi, terutama dalam pelaporan dan penyesuaian operasi. Selain daripada itu, tahap kesedaran masyarakat luar bandar terhadap SDG masih rendah dan memerlukan program literasi berterusan. Dan terakhir, kekurangan sokongan saintifik dan data menjadikan pemantauan impak agak terbatas.
Justeru, kerajaan perlu memperluaskan peranan majlis-majlis teknikal seperti SDG Scientific Track, melibatkan IPTA dan NGO untuk memastikan pelaksanaan berpandukan bukti dan penilaian berasaskan data.
Lebih penting daripada pencapaian angka, pendekatan SDG‑SSE menawarkan satu bentuk konsensus baharu yang tidak bergantung semata-mata kepada dasar kerajaan.
Ia menyeru penyertaan aktif dari semua lapisan — ahli politik, usahawan sosial, koperasi desa, pertubuhan agama, belia dan badan korporat — untuk berganding bahu memacu pembangunan mampan secara kolektif.
Ini adalah masa untuk melihat pembangunan bukan sekadar melalui lensa ekonomi semata, tetapi sebagai suatu tanggungjawab bersama yang melibatkan nilai, etika dan keprihatinan terhadap generasi akan datang.
SDG‑SSE bukan sekadar slogan dasar. Ia mencerminkan perubahan paradigma dalam cara negara membina kemajuan: daripada dasar atas-ke-bawah kepada pendekatan pelbagai hala yang mengiktiraf suara rakyat, komuniti, dan pasaran.
Malaysia kini mempunyai peluang unik untuk menjadikan pembangunan mampan bukan hanya matlamat, tetapi realiti yang dirasai setiap warga. @analitiko