PAS Gesa Kerajaan Perjelas Dasar Pemilikan Hartanah Bumiputera 50 Peratus

KUALA LUMPUR | 26 Mei 26 — PAS menggesa kerajaan memberikan penjelasan segera berhubung cadangan syarat pemilikan Bumiputera sebanyak 50 peratus bagi transaksi hartanah bernilai RM20 juta dan ke atas bagi mengelakkan kekeliruan, gangguan pasaran serta kerugian jangka panjang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengambil maklum mengenai laporan dan perbincangan awam berkaitan cadangan dasar tersebut, khususnya melibatkan aset milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Ekonomi memaklumkan dasar itu bertujuan memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam pemilikan aset strategik selain menyelaras pelupusan aset penting negara dengan objektif sosioekonomi yang lebih luas.

Bagaimanapun katanya, dasar melibatkan aset bernilai tinggi dan mempunyai kesan langsung terhadap pasaran modal, institusi kewangan serta dana awam tidak seharusnya dilaksanakan secara tidak jelas atau terbuka kepada pelbagai tafsiran.

“PAS percaya kerajaan perlu memberi penjelasan komprehensif mengenai beberapa isu penting termasuk sama ada syarat pemilikan 50 peratus ini merupakan dasar tetap Putrajaya atau dilaksanakan secara terpilih.

“Kerajaan juga perlu menerangkan mekanisme pelaksanaan, pengecualian dan penilaian yang diguna pakai serta sama ada kajian impak menyeluruh telah dibuat terhadap keyakinan pelabur dan kecairan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan media.

Takiyuddin berkata, PAS menyokong usaha memperkukuh pemilikan Bumiputera selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan pembangunan ekonomi seimbang.

Namun beliau menegaskan pelaksanaan dasar itu perlu dilakukan secara kredibel, stabil dan kompetitif, bukannya melalui pendekatan kabur atau tergesa-gesa yang boleh melemahkan keyakinan pasaran.

Menurutnya, banyak aset GLC dan GLIC berkait secara langsung dengan kepentingan rakyat melalui institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Tabung Haji.

“Sebarang dasar yang mengehadkan pasaran atau memberi kesan kepada nilaian aset akhirnya akan mempengaruhi pulangan pelaburan dan simpanan rakyat sendiri,” katanya.

Beliau turut menggesa Putrajaya menjelaskan garis panduan, pengecualian sektor, fasa pelaksanaan, penilaian impak pasaran dan konsultasi industri supaya tidak menimbulkan ketidaktentuan dalam kalangan pelabur dan sektor perniagaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share