Mesyuarat Luar Biasa MT PN Fokus Muktamadkan Isu Jawatan Pengerusi

KUALA LUMPUR | 26 Jan 26 – Perikatan Nasional (PN) bakal mengadakan Mesyuarat Luar Biasa (MEB) Majlis Tertinggi pada 29 Januari ini dengan agenda utama, memuktamadkan isu perletakan jawatan Pengerusi PN, sekali gus membuka laluan kepada pelantikan kepimpinan baharu gabungan itu.

Berdasarkan notis mesyuarat bertarikh 23 Jan yang beredar dikalangan pengamal media, mesyuarat tersebut dipanggil selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan PN susulan permintaan bertulis daripada parti-parti anggota, termasuk Gerakan dan PAS.

Agenda terpenting mesyuarat adalah pengesahan perletakan jawatan Pengerusi PN, yang menjadi prasyarat kepada sebarang langkah seterusnya. Hanya selepas perletakan jawatan itu disahkan secara rasmi, barulah Majlis Tertinggi boleh mempertimbangkan pelantikan Pengerusi PN yang baharu.

Sebelum itu, mesyuarat akan terlebih dahulu memilih pengerusi mesyuarat daripada kalangan Timbalan-Timbalan Pengerusi PN, langkah yang dilihat sebagai keperluan prosedur bagi memastikan perjalanan mesyuarat mematuhi peruntukan perlembagaan serta mengelakkan konflik kepentingan.

Pemerhati politik melihat mesyuarat ini sebagai usaha menutup polemik berpanjangan berkaitan kepimpinan tertinggi PN, selain menamatkan spekulasi dan naratif bercanggah mengenai status sebenar jawatan pengerusi gabungan berkenaan.

Pemilihan Ibu Pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia sebagai lokasi mesyuarat turut dilihat membawa isyarat bahawa proses transisi ini digerakkan secara institusi, bukan melalui rundingan tidak formal atau tekanan politik dalaman.

Mesyuarat berkenaan dijangka menjadi titik penting yang akan menentukan hala tuju kepimpinan dan kestabilan Perikatan Nasional dalam fasa politik seterusnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share