
KUALA LUMPUR, 5 Okt — Gabungan Nasionalis hari ini menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) membatalkan kerjasama strategik Tourism Malaysia dengan Starbucks Malaysia bagi kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026), kerana didakwa bercanggah dengan pendirian kerajaan dalam isu solidariti terhadap rakyat Palestin.
Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya, berkata langkah itu menimbulkan persoalan besar mengenai kepekaan kementerian terhadap sensitiviti umat Islam, memandangkan Starbucks merupakan antara jenama antarabangsa yang paling banyak dikaitkan dengan kempen boikot global berhubung konflik Gaza.
“Tindakan kementerian memberi ruang kepada Starbucks dalam promosi pelancongan negara boleh menjejaskan imej Malaysia sebagai negara Islam yang konsisten membela Palestin,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, kerjasama itu dilihat tidak selari dengan dasar kerajaan yang lantang mengkritik kekejaman rejim Zionis serta menyatakan sokongan penuh terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Aminuddin turut menegaskan, rakyat akan berasa dikhianati sekiranya suara akar umbi yang menyokong boikot tidak diendahkan oleh pihak kerajaan.
“Di satu sisi, rakyat digesa menyokong boikot. Namun di sisi lain, MOTAC bekerjasama dengan syarikat yang berada dalam senarai boikot dunia. Ini memberi gambaran seolah-olah Menteri MOTAC tidak selari dengan polisi kerajaan,” katanya lagi.
Gabungan Nasionalis turut memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh menjejaskan kredibiliti kerajaan serta mencemarkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Kredibiliti kerajaan tercalar apabila sikap menteri kabinet sendiri dilihat bercanggah dengan pendirian rasmi negara,” ujarnya.
Justeru, Aminuddin menuntut MOTAC agar membatalkan segera kerjasama dengan Starbucks dan menilai semula dasar penglibatan syarikat antarabangsa dalam program promosi kerajaan agar tidak menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat.
Pada 1 Oktober lalu, Tourism Malaysia mengumumkan jalinan kerjasama strategik dengan Starbucks Malaysia bagi menjayakan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Kerjasama itu antara lain melibatkan promosi silang jenama melalui cawangan Starbucks di seluruh negara serta pelaksanaan aktiviti bersama untuk meningkatkan kesedaran terhadap kempen pelancongan nasional.
Menurut kenyataan rasmi MOTAC, inisiatif tersebut bertujuan memperkukuh usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan serantau menjelang tahun 2026. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.