
KUALA LUMPUR, 4 MEI 25 – Kepimpinan veteran dalam Perikatan Nasional (PN) disaran berlapang dada dengan memberi ruang kepada generasi pelapis menerajui gabungan pembangkang itu, kata penganalisis.
Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid berpandangan, langkah itu boleh dimulakan oleh Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.
“Generasi kepimpinan PN yang sudah mengecapi kemuncak karier politik eloklah memberi laluan kepada generasi pelapis, dan figura-figura seperti Muhyiddin dari Bersatu perlulah menjadi contoh.
“Kita berpolitik untuk kelestarian umat dan generasi akan datang, bukan untuk tembolok sendiri,” kata penganalisis dari Universiti Sains Malaysia (USM) kepada politiko.my.
Jelasnya, sebarang cadangan penstrukturan semula parti atau gabungan politik tidak akan memberikan sebarang kesan jika kualiti kepimpinan manusia yang menganggotai barisan kepimpinannya tetap berada di takuk lama.
Langkah itu juga katanya demi kelangsungan perjuangan PN yang kini berada di blok pembangkang.
“Dalam hal ini, PN mesti benar-benar serius memikirkan tentang persoalan peralihan kepimpinan antar-generasi, dan mula memberi tanggungjawab kepimpinan lebih memcabar kepada saf kepimpinan yang sekarang berada pada usia 30an hingga 40an,” katanya.
Prof Dr Sivamurugan Pandian pula berpandangan penstrukturan semula PN perlu bermula dari peranan parti komponennya yang gagal menarik kelompok bukan Melayu bersama mereka.
“Penstrukturan dalaman perlu diperkemas barulah kepada penstrukturan kepimpinan.
“PN kena fikir bagaimana memenangi sokongan bukan Melayu yang masih belum dapat dimainkan Gerakan dan MIPP dalam PN,” katanya.
Katanya, sebagai gabungan besar pembangkang, PN perlu menonjolkan kesemua parti komponen mereka yang bersatu di bawah payung yang sama. @politiko.my