Muhyiddin Bertindak Secara ‘Unilateral’, Kelirukan Parti, Digesa Tampil Beri Penjelasan

KUALA LUMPUR | 1 Feb 26 – Kepimpinan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus dipersoalkan oleh Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, yang didakwa bertindak secara ‘unilateral’ dengan mengarahkan perubahan struktur kepimpinan Perikatan Nasional (PN) tanpa rundingan rasmi di peringkat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN).

Dr Mohd Yadzil Yaakub mendakwa tindakan ‘unilateral’ Muhyiddin itu telah mencetuskan kekeliruan kerana keputusan tersebut tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh MPT BERSATU secara rasmi, dan dianggap oleh beberapa pemimpin telahmencemarkan reputasi parti.

“Tindakan dan kenyataan dibuat secara unilateral ini bukan sahaja mengelirukan ahli parti serta rakan gabungan, malah berpotensi merenggangkan hubungan dalam PN,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau juga berpandangan bahawa tindakan Muhyiddin itu adalah satu bentuk ketidaktelusan dan penyimpangan daripada amalan disiplin organisasi yang akhirnya memberi implikasi besar terhadap kestabilan dan kepercayaan dalam gabungan PN.

“Sehubungan itu, Muhyiddin harus tampil bertanggungjawab, memberi penjelasan secara terbuka dan jujur kepada pimpinan parti, rakan gabungan PN serta rakyat, bagi mengelakkan kekeliruan, salah faham dan keretakan kepercayaan dalam kalangan parti-parti komponen PN,” katanya.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa parti itu bersama PAS sudah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu, menurut suatu surat bertarikh 27 Januari.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan Presiden dan Timbalan Presiden PAS.

Ketika ini, desakan kepada Muhyiddin untuk meletakkan jawatan semakin meluas. Peletakan jawatan Muhyiddin dianggap penting dalam memberi nafas baru terhadap blok pembangkang yang kini, dilihat lesu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share