Insiden Durian Tunggal: PN Desak Polis Kekal Profesional, Elak Pengaruh Siasatan

KUALA LUMPUR, 15 DIS 25 — Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) menyuarakan kebimbangan terhadap perkembangan siasatan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, khususnya berhubung pendedahan maklumat oleh polis negeri Melaka sedangkan siasatan masih dijalankan oleh Pasukan Siasatan Khas Bukit Aman.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang kenyataan awam oleh pihak polis perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan profesionalisme, ketelusan serta pematuhan prosedur siasatan sentiasa terpelihara dalam semua kes, termasuk yang melibatkan kehilangan nyawa semasa operasi penguatkuasaan.

Menurut beliau, pendedahan maklumat yang melibatkan sejarah peribadi atau latar belakang keluarga individu berkaitan kes ketika siasatan masih berjalan berpotensi menimbulkan prasangka, membentuk persepsi negatif terhadap saksi atau individu terlibat, serta membawa kepada kesimpulan pramatang dalam kalangan masyarakat.

Tambahnya, keadaan sedemikian bukan sahaja boleh mempengaruhi sentimen awam, malah berisiko melemahkan integriti siasatan dan dilihat sebagai cubaan membentuk naratif lebih awal sebelum pasukan khas Bukit Aman melengkapkan siasatan mereka.

Justeru, PN menegaskan semua dapatan mesti berpandukan fakta, proses sah dan standard profesionalisme tertinggi, selain bebas daripada bias bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap agensi penguatkuasaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share