Oleh : Zul Arif

Hari ini, kajian mendedahkan bahawa hampir 70 peratus peserta skim PeKa B40 yang menjalani pemeriksaan kesihatan pada tahun lalu dikesan menghidap sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD), termasuk kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti.
Lebih mengejutkan, 25 peratus daripada 301,650 peserta pula didapati menghidap dua atau lebih NCD serentak.
Angka ini mengesahkan kewujudan krisis kesihatan senyap dalam kalangan kumpulan B40, yang setiap hari dihimpit kos sara hidup meningkat dan sistem kesihatan awam yang semakin rapuh.
Hakikat yang tidak boleh disorok apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya menerima kurang 5 peratus daripada keseluruhan Belanjawan 2024.
Peruntukan ini jauh daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menetapkan sekurang-kurangnya 7 peratus daripada KDNK perlu disalurkan untuk sektor kesihatan.
Kesannya sudah kita lihat ketika ini. Dengan bajet sebegitu kecil, KKM sukar memperkukuh infrastruktur, menambah doktor pakar, dan memperluas program pencegahan NCD.
Tidak hairanlah kumpulan B40 hanya disaring percuma, tetapi rawatan susulan masih menunggu giliran panjang di hospital awam yang sesak.
Lebih parah, dalam keadaan bajet kesihatan sempit, kerajaan pula dilihat bermegah dengan projek “rakan strategik KKM” yang dilihat lebih menguntungkan syarikat konsesi dan vendor, bukannya pesakit.
Kontroversi mengenai tender, pembekalan ubat serta sistem perolehan memberi gambaran bahawa kepentingan kumpulan B40 diketepikan demi keuntungan korporat.
Soalnya, mengapa wang rakyat disalurkan ke kantung kroni, sementara majoriti peserta PeKa B40 terus berhadapan risiko penyakit kronik yang boleh dicegah?
Krisis NCD bukan sekadar isu kesihatan, tetapi cerminan dasar yang pincang. Kumpulan B40 menjadi mangsa, mereka sakit lebih awal, kos hidup bertambah, dan akhirnya terperangkap dalam lingkaran kemiskinan kesihatan.
Kerajaan boleh berbangga dengan angka saringan PeKa B40, tetapi realitinya 70 peratus peserta daripada kumpulan ini kini sakit. Persoalan sebenar: adakah kerajaan benar-benar serius membela B40, atau hanya menunggu isu ini meletup menjelang PRU16?
Zulkifli Arif – Seorang pembaca tegar politiko.my
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.