Oleh: A Kadir Jasin

Saya tidak hairan dan tidak salahkan sesiapa kalau tidak faham Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tandatangani dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald John Trump.
Tapi kalau saya bandingkan Trump dengan Sang Kelembai (atau Gedembai) mungkin banyak orang tahu. Setidak-tidaknya ramai orang tua Melayu tahu sebab Sang Kelembai adalah cerita rakyat (folklore) orang Melayu. Apa yang Sang Kelembai sentuh atau tegur, jadi batu.
Trump lancar perang dagang terhadap dunia. Semua negara dia peras ugut dengan tarif melangit. Ada yang pemimpinnya kowtow, ada yang tidak. Malah ada yang lawan.
Tetapi, bukan perdagangan dunia saja yang huru-hara akibat perang tarif dia. Negara dia sendiri kacau-bilau. Golongan petani dia menderita. Dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2024, mereka inilah yang sokong dia. Dia berjaya auta mereka.
Sekarang mereka menderita kerana China enggan beli hasil keluaran mereka, terutama kacang soya. Setakat ini, 27.5 juta tan kacang soya dan 22.8 juta tan gandum tidak terjual.
Tidak cukup dengan tidak dapat jual barang keluaran mereka, rakyat Amerika juga kena bayar harga lebih mahal untuk barang-barang tempatan yang sememangnya mahal dan barang-barang import yang kena cukai lebih tinggi.
Natijahnya, berbaik-baik dengan Trump tidak semestinya baik seperti yang kini dirasai oleh petani dan pengguna Amerika.
Sebelum Pilihan Raya Umum 2018, Perdana Menteri Malaysia waktu itu, Mohd Najib Abdul Razak, beria-ia hendak dilihat baik dengan Trump.
Bukan main gembira apabila dapat ke Rumah Putih berjumpa Trump. Siap janji bantu Amerika kukuhkan ekonomi guna duit GLIC dan GLC.
Dia jumpa Trump pada 12 September, 2017. Lapan bulan kemudian, pada 9 Mei, 2018, dia kalah kepada Pakatan Harapan pimpinan Dr Mahathir Mohamad. Trump pun kena badi juga. Pada tahun 2020 dia tewas kepada Joe Biden.
Perdana Menteri kita hari ini, Anwar Ibrahim pun gembira macam Mohd Najib juga dapat berdansa, naik “The Beast” (kereta rasmi Trump) dan tandatangani perjanjian dengannya.
Masa Mohd Najib jumpa Trump, majalah Newsweek siar sebuah rencana bertajuk, “Trump Meeting with Malaysian Crook Najib Reeks of the Swamp” (Trump berjumpa penjahat Malaysia Najib bau macam paya).
Dalam lawatan ke Malaysia, Jepun dan Korea Selatan, Trump berulang kali puji Anwar sebagai “a good man” (orang baik) dan Malaysia sebagai “fantastic” (hebat).
Tetapi, bekas diplomat kanan Singapura, Bilahari Kausikan menulis di media sosial mengatakan, perjanjian itu memberi kuasa veto kepada Amerika ke atas beberapa aspek dasar perdagangan Malaysia dan mengehadkan kemampuannya bertindak, malah menyekat dasar Bumiputera.
Dan belum apa-apa, Duta Besar Amerika ke Malaysia, Edgard D. Kagan dilaporkan berkata, manakala Amerika menghormati hak kedaulatan Malaysia melaksanakan dasar luar dan ekonomi, seperti menjalin perhubungan dengan BRICS, tetapi (ingat) Presiden Trump “amat jelas mengenai garisan-garisan merah dan padah diseberangi”.
Waktu Mohd Najib mengunjungi Trump, dia sedang berdepan dengan kempen Selamatkan Malaysia oleh gabungan pembangkang dan masyarakat sivil kerana skandal 1MDB.
Sekarang giliran Anwar pula. Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang beliau tandatangani dengan Trump menjadi sumber penyatuan pihak-pihak yang menentang beliau. Tidak mustahil akan berlaku kempen Selamatkan Malaysia 2.0.
Dato A Kadir Jasin ialah mantan Ketua Pengarang NST. Artikel ini telah disiarkan di laman sosial facebook beliau, 5 Nov 25
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.