Dilema UMNO: Antara Mahu Kekal Kuasa Atau Risiko Kehilangan Akar Umbi

Kerjasama politik antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan yang dibentuk pasca-PRU15 dikatakan sebagai gambaran perpaduan nasional antara dua musuh tradisi demi kestabilan negara.

Namun di sebalik retorik kestabilan dan kematangan politik ini, terdapat risiko mendalam yang sedang menghakis kekuatan sebenar UMNO iaitu kepercayaan penyokong akar umbinya sendiri.

UMNO sejak dahulu memposisikan dirinya sebagai pelindung hak dan maruah orang Melayu serta Islam. Dalam dekad-dekad sebelumnya, DAP sering dijadikan sasaran politik sebagai musuh ideologi yang mewakili naratif ‘anti-Melayu’ atau ‘anti-Islam’.

Kini, apabila UMNO duduk dalam satu kabinet bersama DAP, UMNO sudah tidak lagi bercakap tentang prinsip yang mereka pegang selama ini, penyokong akar umbi sukar menerima perubahan mendadak ini.

Naratif perjuangan yang dibina selama puluhan tahun kini tampak seperti ditinggalkan demi kelangsungan politik kuasa. Rakyat khususnya ahli akar umbi akan melihat UMNO bukan sebagai parti berprinsip, tetapi sebagai parti oportunis.

Kerjasama ini telah mengakibatkan keretakan dalaman dalam UMNO sendiri.  Ramai pimpinan akar umbi dan ahli parti yang tidak setuju dalam senyap dengan kerjasama ini sama ada samada mereka menyepi (protes senyap), lompat ke parti lain, atau membentuk blok lain untuk menjarakkan diri dari kepimpinan Zahid Hamidi.

Adakah Zahid sedar hal ini? Ya dia sedar, tetapi tidak mempedulikannya.

Dalam PRN 2023, UMNO mencatatkan kekalahan besar di banyak kawasan majoriti Melayu. Ini petanda jelas bahawa undi protes daripada orang Melayu sedang berlaku secara besar-besaran.

Jika trend ini berterusan, UMNO mungkin menghadapi kekalahan yang lebih parah dalam PRU16 — bukan kerana lawan lebih kuat, tetapi kerana penyokong sendiri sudah tawar hati.

UMNO kini terpaksa menjelaskan kepada penyokongnya mengapa “DAP sebagai musuh tradisi” yang selama ini diserang kini menjadi rakan kongsi politik. Tanpa disedari, naratif yang dibina selama bertahun-tahun, kini berbalik menyerang parti itu sendiri.

UMNO berada dalam dilema yang kritikal. Jika terus bersama DAP, sokongan akar umbi akan terus terhakis hingga akan meruntuhkan parti itu sendiri.

Kerjasama dengan DAP hanya menyelamatkan UMNO daripada menjadi pembangkang. Namun, ia datang dengan kos politik yang sangat tinggi iaitu risiko kehilangan identiti, penyokong tradisi, dan terhakisnya kuasa politik untuk jangka panjang.

Soalan utama: Adakah UMNO sanggup kehilangan akar umbi demi kekal dalam kerajaan yang tidak menjamin kemenangan masa depan?

DarkHorse Seorang Penulis Bebas

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share