PAS Desak “Gencatan Senjata”, Persiap Jentera di 43 Kerusi Termasuk 6 Kerusi BERSATU

KUALA LUMPUR | 2 Feb 26 — Krisis kepimpinan Perikatan Nasional (PN) semakin memuncak apabila Ahli Parlimen Bachok, YB Shahir Sulaiman, secara terbuka menggesa “gencatan senjata” dalam konflik dalaman gabungan itu, satu isyarat jelas bahawa PAS tidak lagi sanggup melihat PN terus terperangkap dalam ketidaktentuan hala tuju.

Dalam kenyataan yang sarat sindiran dan tekanan politik, Shahir mempersoalkan tindakan Datuk DrM (Marzuki Mohamed) dan TunF (Tun Faisal) yang mendedahkan perkara “sulit” secara terbuka, sekali gus menggambarkan ketegangan dalaman PN kini berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan campur tangan segera pimpinan tertinggi.

“Justeru atas rasa hormat kepada kekanda Datuk DrM & TunF, permintaan saya; cukup-cukuplah menulis. Tegasnya.

Kenyataan itu turut mengingatkan bahawa sudah genap sebulan sejak jawatan Pengerusi PN ditinggalkan pada 1 Januari lalu, namun sehingga kini masih tiada kejelasan mengenai kepimpinan gabungan tersebut.

Menggunakan metafora “pemandu bas” yang meletakkan jawatan, Shahir menggambarkan PN sebagai sebuah perjalanan yang tergendala, penumpang gelisah, dan rakyat terus menunggu tanpa kepastian.

“Hari ini 1 Februari. Sudah genap sebulan ‘pemandu bas’ meletak jawatan, 1 Januari. Katanya.

Menurutnya, PAS kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh melibatkan 43 kerusi Parlimen, termasuk enam kerusi yang dilabel sebagai kerusi ‘lompat’ serta dua lagi kerusi yang dikatakan berisiko tinggi.

Pendedahan itu dilihat sebagai amaran terbuka kepada rakan sekutu dalam PN bahawa kelewatan membuat keputusan bukan sahaja melemahkan gabungan, malah membuka ruang kepada perpecahan lebih besar menjelang pilihan raya.

Shahir turut mencabar secara langsung kepimpinan PN apabila menyatakan bahawa sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin masih dianggap sebagai Pengerusi PN yang sah, maka satu mesyuarat ‘full council’ perlu dipanggil segera bagi memutuskan hala tuju gabungan tersebut.

“Jika kalian berpandangan TSMY adalah Pengerusi PN yang masih ‘berkuatkuasa’, mudah sahaja, sila panggil mesyuarat segera. Ujarnya.

Gesaan supaya “jangan berlengah lagi”, sekali gus memperkukuh persepsi bahawa kesabaran PAS semakin menipis, dan sebarang kelewatan berterusan boleh membawa implikasi besar terhadap kestabilan PN secara keseluruhan.

Sehingga kini, Perikatan Nasional masih gagal bermesyuarat dan Pengerusi PN baharu, masih tidak diisi sejak perletakan jawatan Muhyiddin pada 1 Januari lalu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share