Anwar Janji Reformasi, Rakyat Hadap ‘Reformati’, Kata Bersatu

KUALA LUMPUR, 11 Jun 25 – Ketua Penerangan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz secara sinis menyindir kenyataan terbaharu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan reformasi yang dijanjikannya ketika dibangku pembangkang tidak dapat dilaksanakan kerana perlu persetujuan rakan gabungan dalam kerajaan hari ini.

Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah berjanji untuk membawa perubahan sistemik dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Namun, apa yang kita lihat hari ini adalah pentadbiran yang lebih autokratik dan lebih teruk daripada pentadbiran perdana menteri dan kerajaan sebelum ini.

“Kegagalan reformasi hari ini bukan berpunca daripada mana-mana parti luar. Ia adalah akibat langsung daripada keputusan dan pendirian politik Anwar, PKR, DAP dan seluruh kepimpinan PH,” kata Tun Faisal, dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, menjadikan pihak lain sebagai alasan adalah taktik mengalihkan kesalahan, sedang hakikatnya, mereka yang memegang kuasa memilih untuk tidak melaksanakan perubahan tersebut.

Reformasi katanya adalah soal prinsip dan keberanian politik, bukan konsensus palsu dalam gabungan yang longgar.

“Jika benar reformasi itu tulen, ia mesti dilakukan walau berisiko politik, bukan ditangguh dengan alasan bahawa ada ‘pihak lain’ dalam kerajaan yang perlu bersetuju.

“Kerajaan ini bukan dipaksa untuk bergabung dengan Umno, (Presiden Umno Datuk Seri) Zahid Hamidi atau GPS. Gabungan ini dibentuk atas pilihan sendiri, maka segala kompromi terhadap prinsip juga adalah pilihan sendiri,” kata Tun Faisal.

Katanya, ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana menteri,  kerajaan ketika itu banyak melaksanakan agenda transformasi tanpa perlu beri alasan menunggu pihak lain.

“Jika dahulu rakyat marah kerana rasuah dan pembaziran, kini rakyat marah kerana pengkhianatan prinsip, kegagalan menunaikan janji, pembaziran yang masih berleluasa, kehidupan rakyat yang semakin terbeban dan pemimpin PKR, DAP dan PH yang ‘cakap tak serupa bikin’.” @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share