
KUALA LUMPUR, 6 Jul 25 – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan menafikan wujudnya kem dalam kepimpinan parti, khususnya di Selangor.
Ia susulan penganjuran perasmian berkelompok mesyuarat agung bahagian di negeri itu semalam dihadiri hanya 14 daripada keseluruhan 22 bahagian Bersatu di Selangor.
“Sebenarnya kita jemput semua (bahagian), tapi disebabkan ada isu teknikal, nak dapatkan tempat ni agak lewat, notis mesyuarat kita kena keluarkan tujuh hari sebelum majlis,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian 2025, baru-baru ini.
Jelas ahli Parlimen Tasek Gelugor itu, terdapat dua bahagian yang tidak dapat mengubah jadual asal manakala beberapa bahagian lain sedang mengadakan persidangan masing-masing pada tarikh sama.
“Hanya bahagian-bahagian yang tidak mengeluarkan notis lagi dan ada kebolehan untuk datang, ada kelapangan untuk datang sini.
“Sebab itu mereka tak dapat hadir. Kalau tidak, persidangan ini boleh dihadiri wakil seluruh Selangor.
“Malah Pengerusi (Bersatu) Negeri (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) juga telah dimaklumkan mengenai jemputan yang dihantar, namun beliau mengeluarkan notis dan menetapkan tarikh persidangan pada hari sama,” jelasnya.
Mesyuarat perasmian berkelompok itu hanya dihadiri 14 Bersatu Bahagian di Selangor termasuk Bangi, Sepang, Sabak Bernam, Ampang, Pandan, Selayang, Kota Raja, Hulu Langat, Puchong, Damansara, Klang, Subang, Sungai Buloh dan Hulu Selangor.
Rancangan asal majlis akan dirasmikan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin namun digantikan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada saat-saat akhir berikutan kematian bapa mentua Hamzah di Perak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.