PAS Ingatkan Pemimpin Singapura, Jangan Cipta ‘Musuh Yang Tak Wujud’

KUALA LUMPUR, 15 Okt 25 – Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengingatkan pemimpin Singapura tidak menjadikan parti Islam itu sebagai ‘kambing hitam’ dengan mencipta musuh yang tidak wujud.

Takiyuddin dalam kenyataannya berkata, parti itu tidak seharusnya dijadikan mangsa bagi urusan politik dalaman republik berkenaan.

“PAS menolak sekeras-kerasnya cubaan untuk menjadikan parti kami sebagai kambing hitam demi kepentingan agenda politik dalaman di Singapura.

“Kami tidak akan membiarkan naratif palsu wujud di mana komen rentas sempadan yang biasa dijadikan sensasi sebagai ancaman keselamatan demi keuntungan politik jangka pendek,” kata Takiyuddin.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, menyalahkan pihak luar atas perbahasan dalaman adalah taktik mudah mengalih fokus daripada isu-isu tempatan yang sukar.

Melalui cara itu, Takiyuddin berkata, ia membolehkan pemimpin menggembleng sokongan rakyat terhadap ancaman yang direka-reka.

“Suatu usaha yang jauh lebih mudah daripada tugas sebenar menggubal dasar, membina persefahaman, dan menangani kebimbangan rakyat secara nyata.

“Ini adalah jalan pintas politik yang menukar penyelesaian jangka panjang kepada perpaduan sementara terhadap kambing hitam,” tegasnya.

Kenyataan Takiyuddin dipercayai merujuk laporan media berkenaan dakwaan dua pemimpin PAS cuba campur tangan dalam pilihan raya umum Singapura pada April.

Laporan tersebut disiarkan di channelnewsasia.com bertajuk “Shanmugam urges opposition parties to ‘immediately, clearly’ reject foreign interference and identity politics”, bertarikh 14 Okt 25.

“Tanda kematangan sesebuah negara ialah keupayaannya untuk berdialog dengan yakin dan jelas. Adalah tidak jujur untuk menyatakan pengundi Singapura begitu mudah dipengaruhi oleh pandangan luar sehingga kehendak pilihan raya mereka perlu ‘dilindungi’ daripada pendapat yang mereka mampu nilai secara kritikal,” katanya.

Malah, Takiyuddin menegaskan, komitmen PAS terhadap penghormatan kedaulatan negara menjadi panduan dalam semua bentuk penglibatan mereka.

“Prinsip ini membolehkan kami bersuara dalam hal-hal berkaitan agama, keadilan dan kesejahteraan sosial, sambil memastikan kami tidak mencampuri proses pilihan raya atau kedaulatan mana-mana negara,” jelasnya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share