
KUALA LUMPUR, 4 DIS 25 — Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengecam keras tindakan Menteri Dalam Negeri yang membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan selama enam bulan, menyifatkannya sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan norma demokrasi.
Ketua penerangan PAS itu berkata usul yang dijadual dibahas dan diundi itu dibuat tanpa proses sewajarnya serta tanpa dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Tindakan ini tidak bertamadun. Isu latihan komando APMM di Masjid Rusila telah pun Mlmenteri sendiri kata ‘sudah selesai’ pada 30 Oktober. Bagaimana isu yang selesai boleh menjadi alasan hukuman paling berat?” katanya di laman sosialnya, facebook.
Menurutnya, penggantungan tanpa perbicaraan merupakan penyalahgunaan kuasa untuk menutup suara pembangkang, selain menunjukkan kerajaan tidak yakin dengan hujah sendiri.
Ahmad Fadhli turut mengingatkan beberapa pemimpin kerajaan sendiri ketika berada di blok pembangkang pernah menentang penggantungan enam bulan terhadap tokoh seperti Lim Kit Siang pada 2015.
“Adakah hari ini mereka mahu mengulangi tindakan yang dahulu mereka sendiri gelar sebagai kejam?” soalnya.
Beliau menyifatkan dakwaan kenyataan Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS itu kononnya ‘membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan’ sebagai tidak berasas kerana wakil rakyat itu hanya menuntut penjelasan SOP latihan APMM.
“Parlimen bukan tempat membalas dendam. Menggantung wakil rakyat tanpa bicara adalah penghinaan terhadap pengundi Kota Bharu,” tegasnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.