
KUALA LUMPUR, 19 Sep 25 – PAS menegaskan pendiriannya untuk terus komited bersama rakan gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat yang semakin mencengkam kehidupan seharian.
Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, meskipun Bersatu dan PAS baru sahaja menamatkan mesyuarat agung masing-masing, keputusan yang dibuat di peringkat parti perlu dihormati semua pihak.
“Perpaduan dalam gabungan ini adalah kekuatan utama bagi memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara, di samping memperkasakan PN sebagai sebuah gabungan politik yang lebih utuh, berprinsip dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Idris, beberapa isu utama yang memerlukan perhatian segera termasuk pembelaan terhadap Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), kes adik Zara Qairina, kesan penyesaran subsidi RON95 serta peningkatan kos sara hidup.
Dalam pada itu, PAS turut mengumumkan Himpunan Mega Tolak URA akan diadakan pada 4 Oktober depan, dengan jemputan kepada semua pihak untuk bersama memperjuangkan nasib rakyat yang didakwa bakal dizalimi selepas akta tersebut dikuatkuasakan.
“PAS yakin dengan kebersamaan dan kesungguhan seluruh komponen PN, kita mampu menawarkan penyelesaian yang lebih baik, adil dan saksama kepada rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.