
IPOH | 7 Apr 26 – Dakwaan bahawa Bersatu Perak semakin kuat disifatkan sebagai “mimpi di siang hari” apabila seorang mantan pemimpin parti itu tampil mendedahkan krisis dalaman yang didakwa semakin parah dan tidak terkawal.
Mantan Ketua Bahagian Bersatu Ipoh Timor, Mohd Fadhli Ismail, secara terbuka mempertikaikan kenyataan Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih mesra dengan panggilan ‘Peja’, yang sebelum ini menggambarkan parti itu berada dalam keadaan kukuh.
Menurut Fadhli, realiti sebenar di peringkat akar umbi jauh berbeza, malah parti itu kini berdepan krisis kepercayaan yang serius.
“Bersatu Perak bukan semakin kuat, tetapi semakin mereput dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadhli sekurang-kurangnya 10 jawatankuasa bahagian di negeri itu telah dibubarkan, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa struktur organisasi parti sedang runtuh.
Lebih membimbangkan, katanya, bahagian yang terjejas melibatkan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang strategik, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya.
“Apabila cawangan-cawangan tidak lagi berfungsi, di manakah logiknya untuk mengatakan parti semakin kuat?” soalnya.
Fadhli turut menyifatkan kepimpinan sedia ada sebagai gagal mengurus krisis dalaman, khususnya susulan tindakan pemecatan beberapa wakil rakyat yang sebelum ini menjadi tulang belakang parti.
Menurutnya, langkah tersebut bukan sahaja melemahkan kekuatan organisasi, malah mempercepatkan perpecahan dalaman.
Dalam nada lebih keras, beliau mendakwa barisan pemimpin Bersatu Perak hari ini sekadar memegang jawatan tanpa sokongan sebenar daripada rakyat.
“Mereka bukan lagi pemimpin masyarakat, tetapi hanya pemimpin atas kertas,” katanya.
Fadhli turut membayangkan bahawa tindakan segelintir pemimpin yang dilihat terlalu bergantung kepada kepimpinan pusat adalah didorong oleh kepentingan survival politik, bukannya perjuangan parti.
Beliau turut menggesa Ahmad Faizal supaya “turun ke padang” dan memberi khidmat kepada rakyat, bukan sekadar muncul menjelang musim pilihan raya.
Dalam sindiran sinis, Fadhli mengingatkan agar tidak berlagak besar sedangkan hakikat sebenar jauh berbeza, sambil menegaskan bahawa ahli di peringkat akar umbi semakin sedar dan mampu menilai keikhlasan kepimpinan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.