
KUALA LUMPUR, 16 Jul 25 – PAS didakwa cenderung memilih Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai perdana menteri gabungan Perikatan Nasional (PN) berbanding pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, dakwa Datuk Zaid Ibrahim.
Bekas menteri undang-undang itu berkata, Hamzah mempunyai daya tarikan yang lebih meluas termasuk dalam kalangan bukan Melayu yang menjadi salah satu cabaran kepada PN jika mereka mahu mencapai keputusan yang baik dalam PRU.
“Gandingan beliau dengan pemimpin teknokrat seperti (Setiausaha Agung PAS Datuk Seri) Takiyuddin Hassan dan (Menteri Besar Terengganu Datuk Seri) Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menampilkan pasukan kepimpinan hebat dan inklusif yang mampu mencabar penguasaan Madani,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan Zaid ketika mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah yang menyatakan Hamzah sebagai watak penting merangka strategi PN untuk PRU akan datang.
“PAS – melalui Nik Amar – menunjukkan kematangan politik yang jarang berlaku dalam meletakkan Hamzah sebagai calon perdana menteri jika PN membentuk kerajaan seterusnya,” kata Zaid, dalam ucapan di X.
Zaid bagaimanapun memberi amaran, jika PN gagal untuk bersatu dan bertanding bawah platform yang kukuh, tanpa hala tuju jelas, ia boleh menyebabkan kejatuhan gabungan berkenaan.
“Kenapa? Kerana jika Madani berjaya bersatu dan menang PRU akan datang maka dia (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menambah atau memperluaskan jumlah kerusi parlimen. Pada masa itu PN berisiko menjadi tidak relevan.
“Sekarang bukan masa untuk ego atau nostalgia. Sekarang adalah masa untuk mengatur strategi, visi, dan pengorbanan; untuk tujuan yang lebih besar demi pembaharuan negara,” katanya.
“Sekarang terserah kepada Bersatu. Adakah parti itu akan memberikan tindak balas dengan pragmatisme dan kematangan politik yang sama?” katanya sambil menggesa Bersatu menghadapi realiti bahawa landskap politik sedang berubah.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.