
KUALA LUMPUR, 27 DIS 25 — UMNO Bahagian Puchong memutuskan secara rasmi dan muktamad semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam yang ditetapkan berhubung kenyataan beliau yang didakwa tidak beradab, tidak sensitif dan tidak matang terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh UMNO Bahagian Puchong, tempoh tuntutan permohonan maaf tersebut telah berakhir pada 24 Disember 2025, jam 4.00 petang, namun tiada sebarang maklum balas atau tindakan daripada pihak berkenaan.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa keputusan berkenaan dibuat berdasarkan Memorandum Bantahan yang dikemukakan oleh UMNO Bahagian Puchong susulan kenyataan Yeo Bee Yin yang tular di media sosial dan mencetuskan kemarahan serta kekecewaan dalam kalangan ahli dan penyokong parti.
“Sehubungan itu, UMNO Bahagian Puchong dengan ini memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan Puchong, berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan tersebut.
Setakat ini, belum terdapat sebarang reaksi rasmi daripada Yeo Bee Yin atau pimpinan Pakatan Harapan Puchong berhubung keputusan yang diumumkan oleh UMNO Bahagian Puchong itu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.