Pelajar Antarabangsa Dihalau : Trump Sekat Harvard Terima Pelajar Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 23 Mei 25 – Pentadbiran Trump telah membatalkan kebenaran Universiti Harvard untuk menerima pelajar antarabangsa dalam pertikaian yang semakin memuncak dengan institusi Ivy League itu, dengan menyatakan bahawa ribuan pelajar semasa mesti berpindah ke institusi lain atau meninggalkan negara ini.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tindakan tersebut pada hari Khamis, dengan mendakwa bahawa Harvard telah mewujudkan persekitaran kampus yang tidak selamat dengan membenarkan “penghasut anti-Amerika dan pro-keganasan” dengan menyerang pelajar Yahudi di kampus.

Menurut laporan APNews, Jabatan itu juga menuduh Harvard bekerjasama dengan Parti Komunis China, dengan mengatakan universiti itu telah menjadi tuan rumah dan melatih ahli kumpulan separa tentera China seawal tahun 2024.

“Ini bermakna Harvard tidak lagi boleh menerima pelajar asing, dan pelajar asing sedia ada mesti berpindah atau kehilangan status sah mereka,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Harvard ketika mempunyai hampir 6,800 pelajar antarabangsa di kampusnya di Cambridge, Massachusetts, iaitu lebih satu perempat daripada jumlah keseluruhan pelajarnya. Kebanyakan mereka ialah pelajar pascasiswazah dari lebih 100 buah negara.

Harvard dalam responnya menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah dan berkata pihak universiti sedang berusaha memberi panduan kepada para pelajar.

“Tindakan balas ini mengancam kemudaratan serius kepada komuniti Harvard dan negara kita, serta menjejaskan misi akademik dan penyelidikan Harvard,” kata universiti itu dalam satu kenyataan.

Pertikaian ini berpunca daripada permintaan pada 16 April daripada Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem. Surat itu menuntut Harvard menyerahkan maklumat tentang pelajar asing yang mungkin terlibat dalam keganasan atau protes yang boleh menyebabkan mereka dihantar pulang.

Dalam satu surat kepada Harvard pada hari Khamis, Noem berkata sekatan terhadap universiti itu adalah “akibat daripada kegagalan Harvard mematuhi keperluan pelaporan yang mudah.”

Ia menghalang Harvard daripada menerima pelajar antarabangsa bagi tahun akademik 2025–2026 yang akan datang.

Noem berkata Harvard boleh mendapatkan semula kebenarannya untuk menerima pelajar asing jika ia menyerahkan sejumlah besar rekod mengenai pelajar antarabangsa dalam masa 72 jam.

Permintaan terkini beliau menuntut semua rekod, termasuk rakaman audio atau video, mengenai penglibatan pelajar asing dalam protes atau aktiviti berbahaya di kampus. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share