Pembangkang sudah ada peluang tetapi apa hala tujunya?

Oleh : Zulkiflee Bakar

Foto – Utusan

TIDAK kira apapun tafsiran, pandangan, kritikan atau komen berhubung Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu dan tidak kisahlah berapapun angka yang hadir di Dataran Merdeka ketika itu tetapi apa yang pasti ia menunjukkan keupayaan gabungan pembangkang khususnya Pas menghimpunkan orang ramai.

Perhimpunan itu juga menunjukkan kesepakatan pemimpin dalam Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Pas, Bersatu dan Gerakan berada di atas satu pentas diiringi dengan pemimpin politik lain seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr.Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Dalam media sosial khususnya Tik Tok liputan himpunan itu cukup hebat sehingga bahangnya masih terasa sehingga ke hari ini. Benar! Himpunan gagal menurunkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri atau membubarkan Kerajaan Perpaduan sedia ada tetapi mesej bahawa wujudnya perasaan tidak puas hati rakyat kepada pentadbiran kerajaan bertebaran ke seluruh dunia melalui liputan media-media antarabangsa. Ini fakta yang tidak boleh dinafikan.

Bagaimanapun persoalan besar yang masih berlegar-legar dan tidak terjawab sehingga ke hari ini ialah apakah selepas ini? Semua orang tahu bahawa mana-mana himpunan tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan kerana ia bukan budaya politik Malaysia. Keadaan itu kita sudah saksikan sejak lebih 27 tahun lalu, yang menjadi persoalan apakah langkah pembangkang seterusnya?

Setakat ini bukan kata tidak ada perancangan malah kelibat pembangkang untuk menjadi alternatif kepada kerajaan sedia ada sahaja masih kabur malah boleh dianggap tiada sama sekali. Apabila pembangkang berdegar-degar mahu Anwar turun, apabila pembangkang menjerit-jerit mahu pemerintahan Kerajaan Perpaduan digantikan tetapi mereka sendiri tidak menamakan calon Perdana Menteri gabungan itu dan apa yang ditawarkan jika mereka memerintah!

SIAPA CALON PM?

Hakikatnya pembangkang bukannya tidak ada kelebihan atau keupayaan untuk memerintah tetapi semuanya tidak jelas. Contohnya siapa calon Perdana Menteri? Betul, gabungan pembangkang ada  Presiden Bersatu yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi adakah beliau masih relevan untuk kembali menjadi Perdana Menteri? Kalau beliau masih relevan dan mendapat sokongan padu kesemua parti gabungan itu kenapakah PN masih segan silu untuk menyatakannya?

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Apa salahnya Muhyiddin menjadi Perdana Menteri lagi kalau beliau betul-betul layak tambahan pula dahulu beliau memegang jawatan itu dalam keadaan negara dilanda krisis kesihatan akibat Covid-19 dan pada masa sama berhadapan dengan mainan politik segelintir pemimpin UMNO yang sebenarnya mempunyai agenda politik sendiri.

Kalau Muhyiddin tidak diganggu dan diberi peluang menguruskan negara secara tenang, mungkin beliau boleh menjadi antara Perdana Menteri terbaik. Namun jika Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan padu daripada parti gabungan khususnya daripada Pas untuk kembali bertakhta maka PN perlu mengisytiharkannya.

Pada masa sama, PN juga mempunyai Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang merupakan Ketua Pembangkang. Kalau ikut  ‘tradisi’ politik beliaulah calon Perdana Menteri jika pembangkang memerintah. Bagaimanapun beliau pun tidak diuar-uarkan untuk memegang jawatan itu malah sebaliknya difahamkan fungsi beliau hanya terhad di Dewan Rakyat sahaja.

Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Sepatutnya sebagai Timbalan Pengerusi PN dan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah perlu lebih lantang ke hadapan dalam mengetengahkan isu-isu semasa dan menonjolkan diri sebagai Ketua Pembangkang, kalau di negara lainpun ketua pembangkanglah paling ke depan tetapi Hamzah dilihat tidak begitu, adakah beliau tidak berupaya atau beliau tidak dibenarkan bercakap banyak di luar Dewan Rakyat bimbang ia akan menenggelamkan populariti Muhyiddin? Semua ini perlu dijawab oleh PN bukannya membiarkan rakyat tertanya-tanya.

Menarik lagi,  apabila Pas melalui Mursyidul Amnya, Datuk Hashim Jasin menyatakan parti itu mempunyai ramai calon untuk menduduki jawatan Perdana Menteri jika PN memerintah. Sama ada kenyataan Hashim mewakili Pas secara rasmi atau tidak, sama ada ia pendirian rasmi Pas atau tidak, itu soal kedua yang pasti pada pandangan penulis, Pas sememangnya berhak menyenaraikan calonnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Ia memandangkan Pas adalah tonggak utama kekuatan PN. Parti itu bukan sahaja mempunyai kelebihan kerusi Parlimen tetapi juga dari segi jentera pilihan raya dan sokongan.

Apapun siapa calon Perdana Menteri  dari PN harus jelas! Tidak boleh dibiarkan rakyat tertanya-tanya kerana calon Perdana Menteri turut memberi peranan dalam meraih sokongan. Kalau Muhyiddin yang dipilih maklumkan kepada rakyat, kalau Hamzah yang disokong nyatakan terbuka dan kalau calon itu daripada Pas khabarnya secara terus terang.

PN harus telus soal ini kerana gabungan itu bukannya tidak ada calon untuk menjadi Perdana Menteri… pasti ada. Yang penting umumkan sahaja. PN  bukannya seperti UMNO yang tidak mahu lagi menduduki jawatan Perdana Menteri sehingga kembali dominan dalam tempoh 10 tahun atau 12 tahun akan datang.

Sebab itulah UMNO lebih bercakap soal mahu memperkukuhkan hubungan dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi PUR-16 walaupun mereka ada calon Perdana Menteri seperti Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Johari Ghani.

PN perlu buktikan layak ganti Kerajaan Madani

Selain calon Perdana Menteri, PN juga harus membuktikan keupayaan mereka untuk menjadi kerajaan. Keupayaan PN mentadbir empat negeri yang diperintah oleh Pas iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak boleh diragui atau dipersoalkan lagi.

Bagaimanapun untuk pemerintahan di peringkat pusat, PN harus mengemukakan apa yang boleh menjadikan mereka lebih baik daripada Kerajaan Madani. PN tidak boleh lagi bernostalgia dengan sejarah memerintah selama 18 bulan suatu ketika dahulu.

 Tidak dapat dinafikan ketika Covid-19 ada kejayaan yang dicapai tetapi semua itu sudah menjadi sejarah. PN perlu mengemukakan perkara baru bagi membuktikan mereka layak dipilih menggantikan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PKR, diperkuatkan oleh DAP, diperkukuhkan oleh parti-parti Sabah dan Sarawak serta ‘ditumpangi’ oleh UMNO.

PN perlu menyenaraikan dengan jelas ke mana hala tuju negara ini mahu dibawa dan sentiasa bersedia mengemukakan alternatif apabila setiap kali mengkritik atau membangkang dasar, keputusan atau tindakan kerajaan.

Sudah pasti tanggungjawab ini terletak di bahu Muhyiddin sebagai Pengerusi PN untuk mengumpulkan segala kekuatan dalam gabungan itu bagi melaksanakan misi tersebut.

Jika beliau masih berhasrat menjadi Perdana Menteri maka Muhyiddin harus memandu PN untuk menyediakan satu perancangan dan wawasan yang boleh dijadikan rujukan dan panduan bagi  rakyat membuat penilaian terhadap keupayaan PN menggantikan Kerajaan Madani.

Walaupun perit namun penulis bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Liew Chin Tong yang menegaskan PN gagal menjadi pembangkang yang mampu menawarkan alternatif jelas kepada rakyat.

Kata beliau, PN yang kini memiliki satu pertiga kerusi Parlimen sepatutnya mampu muncul sebagai pilihan kepada Kerajaan Perpaduan namun kelemahan dalaman kepemimpinan serta ketiadaan visi nasional menjadikan gabungan itu semakin terpinggir.

Apa yang dikatakan oleh Chin Tong walaupun pahit tetapi itulah fakta atau persepsi mereka di luar PN, mungkin juga sebahagian rakyat.

Oleh itu terserah kepada Muhyiddin untuk mengatur tindakan, ia memandangkan PN sudah tidak ada masa lagi kerana khabarnya parti-parti kerajaan sudahpun memulakan langkah menuju gerbang pilihan raya umum.

Penulis percaya Muhyiddin berupaya memimpin PN untuk memenuhi atau memperbaiki apa yang dikatakan oleh Chin Tong seperti mana beliau mengemudi negara keluar daripada krisis Covid-19 tetapi apa yang penting ialah tindakan.

Kalau Muhyiddin merasakan sudah tidak lagi berupaya maka beliau perlu bersedia menyerahkan kepada pemimpin lain yang mendapat sokongan parti gabungan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Ia memandangkan tanggungjawab pemimpin PN bukan sahaja mengemukakan alternatif dalam soal menguruskan negara, mensejahterakan rakyat  tetapi juga memurnikan hubungan dengan istana.

Apapun berdasarkan sentimen rakyat, kita tidak boleh menafikan  ruang untuk PN mencapai kejayaan dalam PRU-16 sudah terbuka tetapi kalau jalan menuju ke PRU masih kelam kabut, hala tuju pun masih kabur, PN hanya sekadar bermimpi.

Justeru sebelum terlambat…bangkitlah… jangan syok sendiri melihat rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada tetapi PN sendiri tidak menunjukkan keupayaan menjadi pengganti!

Artikel ini telah diterbitkan di UtusanTV.com pada 30 Julai 25

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share